Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Isnin, 28 September 2020 - Jabatan Pengangkutan Darat dan Agensi-Agensi Berkenanaan mengadakan Pemeriksaan Tidak Berjadual terhadap Bengkel-bengkel Kenderaan
Isnin, 28 September 2020 - Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi beserta agensi-agensi berkenaan iaitu Unit Sukatan dan Timbangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan dan Authoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) telah mengadakan pemeriksaan tidak berjadual ke atas beberapa bengkel di Daerah Brunei – Muara.

Antara tujuan pemeriksaan tidak berjadual ini ialah untuk mengetahui operasi bengkel-bengkel kenderaan di Negara ini adalah dijalankan dengan teratur dan mengikut kebenaran agensi-agensi berkenaan.

Melalui pemantauan, JPD mendapati tiga kategori bengkel-bengkel kenderaan yang beroperasi memberikan perkhidmatan membaik-pulih, servis dan kerja-kerja mekanikal, elektrikal kenderaan di Negara ini. Berdasarkan statistik JPD, terdapat 56 buah bengkel kenderaan telah berdaftar dengan JPD di bawah skim Pengiktirafan Bengkel iaitu 50 buah di Daerah Brunei – Muara, sebuah di Daerah Tutong dan lima buah di Daerah Belait. Selain itu, JPD juga telah mendapati banyak lagi bengkel-bengkel lain yang tidak berdaftar dengan JPD iaitu sama ada yang beroperasi dengan mendapat kelulusan daripada agensi-agensi lain berkenaan sahaja dan selebihnya lagi didapati beroperasi tanpa sebarang kebenaran langsung daripada mana-mana pihak berkuasa di Negara ini.



Operasi pemeriksaan yang dikendalikan kali ini mensahkan beberapa kesalahan dilakukan oleh bengkel-bengkel berkenaan antaranya terdapat bengkel-bengkel yang tidak berdaftar tetapi menjalankan operasi, membuat penambahan bangunan tanpa kebenaran, menyimpan kenderaan-kenderaan terbiar, penggunaan tapak tanpa kebenaran, pemasangan papan tanda tanpa kebenaran, tiada peralatan keselamatan, menjalankan kerja-kerja badan kereta secara tidak teratur, penjualan kereta terpakai, mengendalikan kerja-kerja menggunakan perkakas dan peralatan kimpalan (welding) dan elektrikal yang diubah suai sendiri. Melalui kesalahan-kesalahan yang diperolehi, adalah dinasihatkan bagi bengkel-bengkel kenderaan untuk berdaftar secara teratur supaya memenuhi peraturan dan undang-undang yang berjalan pada masa ini. Bengkel-Bengkel yang mana dinyatakan kesalahannya adalah dinasihatkan untuk mengambil tindakan pembaikan.

JPD memaklumkan orang ramai bahawa bengkel-bengkel yang telah berdaftar dengan JPD adalah bengkel-bengkel yang telah melalui proses-proses pengiktirafan tertentu. Tertakluk kepada mesin dan peralatan, kapasiti, kecekapan dan kepakaran bengkel-bengkel berkenaan, JPD telah mengeluarkan sijil bengkel kelas A, B dan C dimana bengkel kelas A adalah bengkel yang berkeupayaan membuat kerja-kerja tahap ubahsuai dan memperbaiki bahagian kenderaan yang penting seperti enjin dan badan kenderaan.

Seterusnya, JPD ingin menarik perhatian orang ramai bahawa bengkel-bengkel kenderaan adalah penting dalam memastikan kenderaan yang dipandu di jalanraya adalah selamat untuk digunakan. Usaha-usaha sedang dibuat untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya seperti memastikan bengkel-bengkel mengikut piawaian dan mengendalikan kerja-kerja kenderaan dengan bermutu tinggi dan teratur iaitu dengan mendapat pengiktirafan dan kebenaran JPD selaku agensi yang bertanggungjawab mengenainya di Negara ini. Oleh itu, orang ramai khususnya pemilik-pemilik kenderaan adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan bijak dalam memilih bengkel kenderaan untuk keselamatan bersama jua.

Oleh yang demikian, JPD dengan ini menyeru agar semua pemilik-pemilik bengkel kenderaan supaya akan dapat melapor dan mendaftar dengan JPD dengan seberapa segera. JPD dengan kerjasama agensi-agensi berkenaan yang lain akan mengadakan lawatan-lawatan ke bengkel-bengkel kenderaan di Negara ini dan akan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik-pemilik bengkel kenderaan yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang yang berjalan pada masa ini.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JPD di talian 2451979/80/87 samb. 111 pada waktu pejabat atau emel info_ltd@jpd.gov.bn atau awvis@jpd.gov.bn atau menghubungi Talian Darusalam 123 atau melalui Aplikasi WhatsApp Talian Darussalam +6738333123 atau melayari laman sesawang Talian Darussalam www.123.gov.bn.


 
Dikeluarkan oleh:
Pengarah
Jabatan Pengangkutan Darat
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi



Attachments