Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Isnin, 8 November 2021 - Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) Kongsikan Hasil Operasi Penguatkuasaan Peraturan Dan Undang-Undang Jalan Raya Bagi Tempoh 01 Januari Sehingga 31 Oktober 2021

Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) melalui Unit Penguatkuasaan (EU) merekodkan pelbagai kesalahan melanggar Peraturan dan Undang-Undang Jalan Raya dari bulan Januari hingga Oktober 2021.

Kesalahan-kesalahan yang melibatkan pelanggaran Peraturan dan Undang-Undang Jalan Raya yang diambil tindakan didapati melalui rondaan-rondaan dan hasil operasi bersepadu di jalan-jalan raya oleh Unit Penguatkuasa, JPD dan agensi Penguatkuasaan yang lain terutama sekali pihak Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan juga pihak Kementerian Kesihatan (MoH) dan pihak Jabatan Bandaran, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Disamping itu juga, kerjasama dan maklumat daripada orang ramai yang prihatin akan keselamatan jalan raya juga telah menyumbang kepada tindakan-tindakan yang telahpun diambil oleh JPD setakat ini.


Ringkasan antara kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan adalah seperti berikut :-

 

PuncaKesalahan
1.    Pemandu
  1. Pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
  2. Pemandu memandu melebihi had laju yang dibenarkan.
  3. Pemandu di bawah pengaruh alkohol atau ubat.
  4. Pemandu tidak memakai tali pinggang keselamatan
  5. Pemandu tidak mempunyai Lesen Memandu yang sah.
  6. Pemandu tidak mematuhi tanda-tanda lalulintas jalan raya dan lampu trafik.
  7. Pemandu membawa muatan yang melebihi berat, panjang atau ketinggian yang dibenarkan.
2.    Kenderaan
  1. Kenderaan berkeadaan tidak selamat untuk dipandu seperti tayar botak; lampu kenderaan rosak.
  2. Kenderaan diubah suai dari asal sehingga boleh menjejaskan keselamatan Pemandu dan Penumpang serta Pengguna jalan raya yang lain.
  3. Kenderaan diletakkan ditempat yang tidak selamat terutama kenderaan berat atau komersil.
3.    Lain-lain
  1. Kesalahan berkaitan Pelekat Kenderaan Daftar Luar Negara (PKDLN).

 

Berdasarkan hasil pemantauan dan Penguatkuasaan oleh JPD setakat ini, kebanyakan kesalahan-kesalahan telahpun dapat dielakkan demi sama-sama menjamin keselamatan semua pihak di jalan raya.

Sehingga 01 November 2021, melalui 202 Operasi Rondaan dan 13 Operasi Bersepadu, JPD mencatatkan penurunan dari segi kesalahan kenderaan yang dilakukan iaitu daripada 1,113 pada tahun 2020 kepada 649. Dari jumlah 649 ini, sebanyak 176 (27.1%) adalah kenderaan persendirian dan 473 (72.9%) adalah kenderaan komersial.


Statistik pecahan mata demerit yang telahpun dikenakan adalah seperti berikut :-

Mata Demerit Jenis Kesalahan

JUMLAH

PEMANDU

12Menggunakan telefon bimbit semasa memandu19
9i).  Menggunakan kenderaan persendirian untuk tujuan perniagaan tanpa lesen atau permit  yang sah5
ii). Kegagalan pemandu memastikan penumpang di tempat duduk hadapan memakai tali pinggang keledar 12
8Memandu melebihi had yang ditetapkan dijalan raya atau pada kenderaan sehingga 30km/jam9
6i).  Memandu kenderaan dengan tayar botak105
ii). Memandu kenderaan tanpa lesen kenderaan yang sah7
iii).Memandu kenderaan tanpa lesen memandu yang sah8
iv). Tidak mematuhi tanda-tanda lalulintas atau lampu trafik8
4i).  Memandu kenderaan tanpa kebenaran pemilik1
ii). Tidak mematuhi garis dan tanda lalulintas jalan raya3
3i).  Meletakkan kenderaan secara membahayakan atau  di tempat yang tidak dibenarkan13
iii). Muatan jatuh dari kenderaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain28
JUMLAH SEMUA218

 

Disamping tindakan yang disenaraikan di atas, JPD juga telah mengeluarkan surat kepada majikan-majikan atau pemilik-pemilik syarikat mengenai dengan kesalahan-kesalahan yang membabitkan pemandu dan kenderaan-kenderaan mereka untuk diambil tindakan bersesuaian mengenainya.

Dikesempatan ini, JPD ingin menasihatkan semua pemilik dan pemandu kenderaan bermotor untuk sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalulintas jalan raya dengan mengamalkan pemeliharaan kenderaan milik syarikat dan majikan dengan baik demi memastikan kenderaan yang digunakan sentiasa dalam keadaan selamat untuk digunakan di jalan raya. 

Dalam hal berkaitan kenderaan, JPD juga turut mengingatkan pemilik kenderaan untuk mengamalkan pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan seperti memastikan bahagian-bahagian penting kenderaan seperti tayar, brek dan lampu isyarat kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat serta memastikan tiada sebarang kebocoran daripada bahagian enjin kenderaan.

Pemeliharaan kenderaan secara berjadual juga sangat dianjurkan untuk memastikan kenderaan tidak mengalami sebarang kerosakan mekanikal dan elektrikal yang membahayakan keselamatan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

Mengenai pembawaan barangan, JPD ingin mengingatkan supaya pemilik kenderaan sentiasa mematuhi berat muatan sesuatu kenderaan itu dan tidak membawa muatan secara berlebihan sehingga menyebabkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Penggunaan kenderaan yang khusus bagi tujuan membawa barangan atau muatan tertentu adalah sangat penting demi mengelakkan kemalangan jalan raya.

JPD turut mengucapkan terima kasih kepada pemandu-pemandu serta pengguna jalan raya yang sebilangan besar mematuhi undang-undang dan memandu dengan selamat. Sikap dan etika memandu yang berhemah adalah sangat penting dengan mengamalkan pemanduan mengikut had-had laju yang ditetapkan, memakai tali pinggang keselamatan ketika memandu, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu serta sentiasa bertolak ansur ketika menggunakan jalan raya.

Di kesempatan ini juga, JPD mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk terus mengongsikan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan kesalahan-kesalahan lalulintas jalan raya dengan melaporkan perkara-perkara berkenaan dengan menyertakan gambar kesalahan melalui Talian Darussalam 123 atau melalui Aplikasi WhatsApp Talian Darussalam +6738333123.

 

 

Pengarah Pengangkutan Darat

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Tarikh:  8 November 2021


Attachments