Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Speeches

Manage PermissionsManage Permissions
Isnin, 1 April 2019 - Ucapan Alu-Aluan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi sempena Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2019
Teks Ucapan

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib
bin Pehin Orang Kaya Seri Setia
Dato Paduka Haji Mohammad Yusof,
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

Bagi

Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2019

pada: Hari Isnin, 25 Rejab 1440 / 1 April 2019, jam 9:00 pagi

Bertempat: Rimba Garden Central



Yang Mulia Awang Muhamad Husaini bin Aji
Pemangku Pengarah Kajicuaca selaku Pengerusi Majlis
 
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara 
 
Yang Mulia Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Perkembangan), MTIC

Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Cybersecurity, Strategi dan Korporat), MTIC
 
Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abd Razak, Ketua Eksekutif, AITI
 
Ketua-Ketua Jabatan, Pengarah-Pengarah, Jemputan-Jemputan Khas, Rakan-Rakan dari Media, Pegawai-Pegawai Kanan dan para hadirin hadirat yang dihormati sekalian.
 
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
 

1. Matahari, Bumi dan Cuaca, atau The Sun, The Earth and The Weather, ketiga-tiganya berkait rapat dan sangat penting dalam kehidupan kita. Matahari adalah pusat sistem suria dan daya penggerak cuaca, iklim dan kehidupan di bumi. 

2. Dari itu, tema Sambutan Hari Kajicuaca yang dipilih oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (World Meterological Organisation - WMO) untuk tahun ini adalah sangat bersesuaian bagi kita untuk menghargai ketiga-tiga ciptaan Allah SWT ini.  Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua, kita dapat meraikan Majlis Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia bagi Tahun 2019 pada pagi ini. 

Hadirin dan hadirat yang di hormati sekalian, 

3. Terlebih dahulu, izinkan saya untuk mengongsikan sedikit pemerhatian daripada pihak WMO.  Menurut pemerhatian WMO, pemantauan yang dibuat melalui satelit keatas matahari semenjak 30 tahun yang lalu, menunjukkan tidak ada peningkatan dalam pengeluaran tenaga matahari. Dari pemerhatian ini, WMO juga merumuskan bahawa pemanasan global atau global warming yang dihadapi pada masa ini bukanlah disebabkan oleh perubahan dalam aktiviti matahari.  

4. Pemanasan global atau global warming ini mengakibatkan perubahan iklim yang mempunyai kesan dan impak yang ketara keatas kehidupan kita.  Sebagai contoh adalah kejadian heat extremes atau panas yang melampau.   Selain itu, kejadian cuaca yang berimpak tinggi seperti ribut tropika, hujan lebat, ribut musim sejuk, suhu membeku, banjir dan banjir kilat semakin kerap berlaku. 

5. Kejadian-kejadian dari perubahan iklim ini berupaya memberi risiko yang tinggi keatas keperluan kehidupan kita seperti kesihatan, mata pencarian, keselamatan makanan, bekalan air termasuk keselamatan diri kita sendiri. 
 
6. Ini adalah satu kebimbangan global, dan Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan dalam menangani isu kebimbangan ini. Berkaitan perkara ini, saya ingin mengongsikan selajutnya beberapa dapatan dari data yang dikumpulkan oleh Pusat Data Iklim, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, iaitu:- 

a. Pertama, secara purata suhu tahunan meningkat sebanyak 0.6 celsius dari tempoh tahun 1970 hingga tahun 2014; dan
b. Kedua, Negara kita mencatatkan suhu maksima harian melebihi suhu purata maksimum 34 darjah selsius, sebanyak 9 hari pada tahun 2017, dan 33 hari pada tahun 2018.

7. Dalam menghadapi kesan perubahan iklim yang semakin aktif kita rasakan ini, saya mengambil maklum bahawa Jabatan Kajicuaca terus menjalankan tanggungjawabnya mengeluarkan amaran dan nasihat cuaca. 

8. Saya juga turut difahamkan, di sepanjang tahun 2018, sejumlah 290 amaran kod cuaca berwarna telah dikeluarkan oleh Pusat Ramalan Cuaca bagi kejadian hujan lebat dan angin kencang.  Ini adalah peningkatan sebanyak 4 kali ganda berbanding tahun 2016.  Selain itu, lebih dari 360 ribu ramalan cuaca awam dan 23 ribu ramalan cuaca penerbangan juga dikeluarkan dalam setahun.   
 
9. Seterusnya, sepanjang tahun 2018, saya juga dimaklumkan sebanyak empat (4) Taklimat Cuaca Kebangsaan telah diadakan sebagai platform bagi interaksi berkaitan maklumat dan keperluan cuaca untuk pelbagai kumpulan pengguna.   Taklimat-taklimat ini telah melibatkan seramai 345 orang peserta.  

10. Sehubungan ini, saya mengucapkan syabas dan terima kasih atas usaha berterusan Jabatan Kajicuaca dalam menyumbang kepada persediaan dan kesiap siagaan kita menghadapi perubahan iklim.  Dari komitmen yang ditunjukkan ini, saya yakin dengan potensi dan keupayaan Jabatan Kajicuaca meneroka kaedah baru, yang berteraskan teknologi digital, untuk memberikan maklumat kajicuaca yang lebih bermakna dan meluas.

Hadirin dan hadirat sekalian, 

11. Dalam mengorak langkah membawa Negara Brunei Darussalam ke status Smart Nation dan dalam menghadapi 4th Industrial Revolution, penggunaan teknologi yang efektif adalah satu keperluan tinggi bagi menghasilkan data atau maklumat yang menepati keperluan para pengguna. Di sini, saya melihat Jabatan Kajicuaca dapat memainkan peranan penting, kerana kajicuaca adalah antara bidang yang amat sesuai dalam memanfaatkan perkembangan teknologi 4th Industrial Revolution, seperti Internet of Things (IoT) dan Artificial Intelligence (AI). 

12. Pemantauan cuaca kini dibuat melalui sistem cuaca radar dan sensor-sensor cuaca yang dipasang di banyak lokasi sudahpun dirangkaikan dan disambung ke Internet.  Ini menjadikan akses kepada data diperolehi dengan lebih cepat dan efisien. Perkara ini, antara lainnya, sudah dapat kita rasai melalui aplikasi Brunei Weather App yang merupakan sebagai satu smart application, di mana maklumat cuaca Negara ini boleh diperolehi bila-bila masa melalui telefon bimbit.  

13. Potensi penggunaan teknologi dalam kajicuaca juga terus berkembang selaras kemajuan teknologi. Ramalan Cuaca Berangka ataupun Numerical Weather Prediction (NWP) adalah salah satu contoh dari luar negara yang menerapkan teknologi Artificial Intelligence (AI) dalam kajicuaca.  Dengan numerical weather prediction ini, perangkaan dan ramalan cuaca yang lebih tepat dan jauh kehadapan dapat dibuat berikutan dari analisa data yang banyak terkumpul dari sistem satelit dan sensor yang digunakan. 

14. Apa pun jua, dalam memanfaatkan teknologi terkini, ingin saya tekankan mengenai pentingnya penggunaan data secara lebih bermakna. 

15. Sebagai contoh adalah dalam keselamatan jalan raya. Merujuk kepada statistik daripada Brunei Insurance and Takaful Association (BITA), sepanjang tempoh dari bulan Januari 2018 sehingga Februari 2019, kira-kira 18 peratus dari tuntutan kemalangan kenderaan bermotor ada dihubungkait dengan kecuaian pemandu semasa keadaan hujan.  Dengan peningkatan data yang boleh dikutip melalui IoT, penyampaian dan penyebaran maklumat serta amaran cuaca yang lebih tepat dan berkesan, terutama berkaitan keadaan cuaca hujan, akan dapat menyumbang kepada keselamatan jalan raya. 

16. Bagi mencapai keberkesanan ini, kerjasama rapat diantara Jabatan Kajicuaca dengan pihak-pihak yang berkepentingan seperti MKKJR, syarikat-syarikat insurans, sekolah-sekolah memandu adalah sangat penting.  Ini adalah salah satu contoh inisiatif yang bersepadu dikalangan pelbagai pihak melalui pendekatan Whole of Nation. 

17. Dalam memastikan penggunaan maklumat cuaca yang menepati keperluan pengguna, saya penuh berharap supaya inisiatif Jabatan Kajicuaca akan terus mengukuhkan kerjasama dengan pelbagai pihak, sama ada dengan rakan-rakan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 

18. Dengan mengambilkira impak perubahan iklim yang boleh mengakibatkan banjir kilat, saya difahamkan Jabatan Kajicuaca telah pun mengungkayahkan satu inisiatif bagi mengukuhkan kapasiti pengeluaran amaran kejadian banjir kilat yang lebih berkesan, terperinci dan tepat.  Dengan tujuan mengurangkan bahaya pendedahan terhadap banjir kilat, inisiatif ini mendapat kerjasama daripada pihak WMO, Hydrologic Research Centre (HRC), National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) dan U.S Agency for International Development (USAID). 

19. Atas bantuan Hydrologic Research Centre (HRC) yang berpangkalan di California, America Syarikat, Jabatan Kajicuaca telah berjaya mengungkayahkan Sistem Panduan Banjir Kilat bagi Negara Brunei Darussalam ataupun dikenali sebagai Brunei Darussalam Flash Flood Guidance System (BFFGS).  

20. Saya juga difahamkan pelaksanaan sistem ini melibatkan data-data ukur dan hidrologi yang dikongsikan oleh Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Ukur.  Selain itu, ianya juga memberi peluang bagi peningkatan kapasiti untuk pegawai-pegawai Jabatan Kajicuaca dan Jabatan Kerja Raya, bagi memenuhi keperluan upskilling ataupun peningkatan kemahiran yang sedia ada. 

21. Saya berharap peningkatan perkhidmatan seperti ini akan membantu pelbagai pihak dalam menjalankan operasi masing-masing dan seterusnya, pada masa yang sama, juga diharapkan akan dapat memudahcara orang ramai membuat keputusan yang lebih baik bagi sebarang aktiviti yang dirancang. 

22. Untuk mengakhiri ucapan ini, saya mendoakan semoga Jabatan Kajicuaca akan terus maju dalam mengungkayahkan inisiatif-inisiatif baharu dalam memberikan khidmat cuaca dan iklim kepada masyarakat.

23. Terima kasih juga kepada semua ahli jawatankuasa kerja atas usaha biskita menjayakan majlis dan aktiviti bagi Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia pada tahun ini.
 
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh





Attachments
Created at 01/04/2019 16:01 by Dk Dewi Najayati Pengiran Hj Shahrir
Last modified at 01/04/2019 16:01 by Dk Dewi Najayati Pengiran Hj Shahrir