Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Speeches

Manage PermissionsManage Permissions
Jumaat, 03 Mei 2019 - Majlis Pelancaran Applikasi Pertolongan Cemas Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam 2019
Teks Ucapan

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib
bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

untuk

Majlis Pelancaran Applikasi Pertolongan Cemas Dan 
Kempen Keselamatan Jalan Raya Bulan Sabit Merah 
Negara Brunei Darussalam 2019

Pada: Hari Jumaat, 27 Syaaban 1440 / 3 Mei 2019, 8.30 pagi

Bertempat: Dewan Amar Pahlwan,
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi



Yang Mulia Awang Haji Muhammad Suhaimi bin Haji Ibrahim, Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah, 
Negara Brunei Darussalam,

Yang Mulia, Awang Ikbal Adi Yusa bin Haji Md Yusuf,  Pengerusi Majlis, 
Yang Mulia Datin Hajah Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia 
Dato Paduka Haji Mohammad Yusof
Presiden Kehormat Persatuan Bulan Sabit Merah, 
Negara Brunei Darussalam,

Yang Mulia Setiausaha – Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap - Timbalan Setiausaha Tetap,

Ahli – ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR),

Mrs Grace Lo,
Pegawai Kanan “International Federation of Red Cross & Red Crescent”

Para jemputan khas, 
Hadirin dan hadirat, 
Ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah dan; 
Rakan-rakan media yang saya hormati sekalian. 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 
 
1. Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, kita dapat sama-sama hadir di Majlis Pelancaran Applikasi Pertolongan Cemas Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam 2019 pada pagi ini.  
 
2. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam dalam memainkan peranannya secara berterusan kepada masyarakat, sekaligus menyumbang kepada keselamatan jalan raya yang menjadi tanggungjawab bersama. 
3. Majlis pagi ini merupakan testimoni kepada usaha bersepadu di antara semua pihak samada pihak Kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) ke arah  meningkatkan keselamatan jalan raya di Negara Brunei Darussalam.  Usaha berterusan ini sangat dialu-alukan dan setentunya akan mendatangkan manfaat kepada masyarakat, khususnya para pengguna jalan raya.
4. Sebagai sebuah pertubuhan yang sudah bertapak sejak 70 tahun lalu, penglibatan Persatuan Bulan Sabit Merah  tidak asing lagi dengan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Pada bulan Jun 2018, persatuan ini telah bekerjasama dengan MKKJR dalam program Projek Memperkasa Masyarakat Berdayatahan Menuju Wawasan 2035. 
5. Seterusnya melalui kerjasama kita dalam Kempen Berhemah di Jalan Raya, empat (4) langkah utama sebagai inisiatif untuk melibatkan pelbagai agensi berkaitan telah diambil iaitu: 
(i) Keselamatan dalam Masyarakat;
(ii) Keselamatan di Jalanraya;
(iii) Keselamatan di sekolah-sekolah; dan
(iv) Membudayakan Keselamatan dalam Masyarakat

6. Selaku Pengerusi MKKJR, penglibatan antara pihak NGOs, swasta dan Kerajaan sebegini amatlah dialu-alukan. Lebih-lebih lagi dalam perkembangan era digital masakini khususnya Industrial Revolution (IR) 4.0. Ekspektasi orang ramai sangat tinggi untuk mendapatkan maklumat secara cepat dan tepat. 

7. Sehubungan  ini, saya difahamkan applikasi pertolongan cemas yang akan dilancarkan pada pagi ini akan dapat dimuat turun dan diakses oleh orang ramai dengan mudah melalui platform IOS dan Android.

8. Aplikasi pertolongan cemas ini akan memudahkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat penting mengenai teknik dan tatacara memberi bantuan kecemasan dan nombor yang perlu dihubungi. 

9. Dalam kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah atas inisiatif ini dan saya menyeru agar perisian (content) akan dapat ditambahbaik dari masa kesemasa. Ini akan dapat menggalakan lagi lebih ramai lagi pengguna memanfaatkan applikasi ini.

10. Sebagai inisiatif bertahap global kearah meningkatkan tahap keselamatan jalan raya, applikasi yang diungkayahkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah ini saya harap dapat dihasratkan untuk menyumbang kepada strategi teras “Menyelamatkan Nyawa” (Saving Lives) yang terkandung dalam Decade of Action for Road Safety 2011-2020 yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menjadi panduan MKKJR bagi mencapai komitmennya ke arah zero road fatalities. 

11. Dari pemerhatian peribadi saya, masih terdapat banyak kenderaan yang tidak memasang lampu semasa waktu hujan, dan jerebu apatah lagi di waktu malam. Terdapat banyak amalan-amalan terbaik di luar negeri yang patut dicontohi dalam hal ini. 

12. Di dalam kajian yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization) melalui Save Lives: A Road Safety Technical Package (2017) ada menyatakan kepentingan bagi memasang lampu kenderaan walaupun di waktu siang bagi meningkatkan visibility kenderaan berkenaan terutama sekali bagi pengguna jalan raya seperti motosikal. Ini akan dapat mengurangkan insiden kemalangan yang berkaitan dengan visibility. 

13. Tambahan lagi, kereta-kereta atau kenderaan model terbaharu pada masa ini sedia dipasang dengan daytime running lights. Walaupun pada masa ini ianya belum menjadi satu keperluan mandatori di bawah sebarang akta dan peraturan jalan raya, saya menyeru agar semua pengguna jalan raya untuk membudayakan pemasangan lampu semasa di jalan raya. 

14. MKKJR juga terus berusaha memberi pembaharuan dalam pendekatan yang diusahakan dan antaranya adalah melalui platform digital. Setakat ini, Brunei Road Safety Online Pledges sudah merekodkan lebih enam ribu, enam ratus (6,600) online pledges dan saya sangat-sangat berharap kita akan mencapai sekurang-kurangnya sepuluh ribu (10,000) pledges pada penghujung tahun 2019 ini nanti, Insya Allah.

15. Selain itu kempen keselamatan jalan raya ke sekolah-sekolah dan melalui platform Bandarku Ceria bersama rakan-rakan strategik juga telah diadakan.  

16. Pada Disember 2018, MKKJR dengan kerjasama rakan-rakan strategik seperti Syarikat Minyak Brunei Shell telah melancarkan Kempen “Bagitau Semua” atau “Tell Everyone”. Kempen ini telah menekankan kepentingan penggunaan tali pinggang keledar semasa memandu, mematuhi had laju di jalan raya dan untuk tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu. 

17. Dari data yang direkodkan, terdapat penurunan sebanyak 44% dalam jumlah kehilangan nyawa dari kemalangan jalan raya pada tahun 2018 berbanding daripada purata tahun 2010 hingga tahun 2017.  



Hadirin dan hadirat sekalian,

18. Hasrat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya tidak akan mudah dicapai tanpa adanya kerjasama dengan pelbagai pihak. 

19. Dalam hal ini, selaku Pengerusi MKKJR, saya  sangat mengalu-alukan penyertaan masyarakat awam dan pihak-pihak NGOs untuk terlibat dalam apa jua inisiatif yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya dan MKKJR sentiasa mengamalkan sikap terbuka untuk menerima apa jua cadangan-cadangan bagi maksud ini. 

20. Sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Persatuan Bulan Sabit Merah diatas pelancaran applikasi kecemasan ini dan diatas undangan bagi melancarkan majlis ini, semoga akan terus maju jaya. 

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Assalamualaikum Warahmahtullahi Wabarakatuh.  




Teks Pelancaran
Dengan kalimah Bismillahhirahman niraahiim, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan sukacitanya melancarkan Applikasi Pertolongan Cemas Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam 2019.




Attachments
Created at 04/05/2019 11:30 by Dk Dewi Najayati Pengiran Hj Shahrir
Last modified at 04/05/2019 11:30 by Dk Dewi Najayati Pengiran Hj Shahrir