Sign In
Mobirise Web Builder

Majlis Membaca Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan Solat Fardhu Asar Berjemaah Kelolaan MKKJR

Jun 12, 2025
Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah mengadakan Majlis Membaca Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan Solat Fardu Asar berjemaah pada petang ini di Masjid Pengiran Mohammed Alam, Kampong Sengkarai, Daerah Tutong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Ratib Al-Attas dan Solat Sunat Hajat, sebelum diteruskan dengan Solat Fardu Asar berjemaah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Raqib bin Haji Awang, Imam Masjid Pengiran Anak Mohammed Alam.

Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Ukong, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampong Sengkarai, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Salihin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) selaku Setiausaha MKKJR, Yang Mulia Awang Haji Joharry bin Haji Abdul Karim, Penghulu Mukim Keriam, ahli-ahli MKKJR, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua bahagian, pegawai-pegawai kanan, dan pegawai-pegawai serta kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokommunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya dan juga penduduk-penduduk Kampong Sengkarai, Dearah Tutong.

Majlis ini merupakan antara inisiatif berterusan MKKJR dalam memohon keberkatan dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala agar para pengguna jalan raya sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah dan kemalangan. Di samping itu, majlis ini juga bertujuan untuk menyemai kesedaran Rohani dan tanggungjawab bersama dalam menjaga keselamatan di jalan raya, selaras dengan nilai-nilai murni masyarakat Islam.

Keselamatan jalan raya bukan sahaja terletak pada pematuhan undang-undang, tetapi juga menuntut komitmen moral setiap individu dalam menjaga nyawa sendiri dan orang lain. Kemalangan jalan raya boleh dicegah jika setiap pemandu dan pengguna jalan menunjukkan sikap prihatin, sabar dan berhemah.

Sehubungan itu, MKKJR menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mematuhi had laju yang ditetapkan, memakai tali pinggang keledar setiap masa, dan mengamalkan sikap berbudi bahasa serta berhati-hati semasa memandu. Pemandu juga diingatkan untuk tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan sentiasa mengekalkan jarak selamat, terutamanya ketika cuaca hujan atau dalam keadaan lalu lintas yang sesak.

Semoga usaha seperti ini akan terus menyuburkan kesedaran kolektif kea rah budaya pemanduan yang lebih selamaat dan bertanggungjawab, demi kesejahteraan seluruh rakyat dan negara.


Disediakan oleh: 
Urusetia MKKJR dan Perhubungan Luar dan Komunikasi
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, 
Negara Brunei Darussalam
mkkjr@mtic.gov.bn | erc@mtic.gov.bn 






Attachments
News