Sign In

Sidang Media Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR)

Aug 20, 2025
Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) mengadakan Sidang Media hari ini di Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), sebagai usaha berterusan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai keselamatan jalan raya di Negara Brunei Darussalam.

Sidang Media disampaikan oleh Yang Mulia Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) selaku Setiausaha MKKJR. Turut hadir ialah Yang Mulia Senior Superintendent Pang Teck Ann, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei; dan Yang Mulia Ridzuan bin Haji Ahmad, Pemangku Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC). 



Sidang media pada pagi ini juga mengongsikan statistik kadar kemalangan, perangkaan kemalangan dan kesalahan-kesalahan lalu lintas jalan raya, serta perangkaan kenderaan yang diambil Tindakan dan dikenakan kompaun.

TREND KEMALANGAN JALAN RAYA

Statistik kemalangan sepanjang lima tahun kebelakangan menunjukkan tren yang mendatar. Namun, catatan terkini setakat Jun 2025 menunjukkan peningkatan jumlah kemalangan maut iaitu 12 mangsa berbanding 7 mangsa bagi tempoh sama tahun 2024.

Secara keseluruhan, rekod menunjukkan:

2020: 1,079 kes (341 kecederaan, 11 maut)
2021: 1,043 kes (343 kecederaan, 16 maut)
2022: 1,050 kes (359 kecederaan, 18 maut)
2023: 1,118 kes (364 kecederaan, 14 maut)
2024: 1,163 kes (359 kecederaan, 13 maut)

Antara tiga (3) punca utama kemalangan maut yang dikenal pasti iaitu:
1. Pemanduan melebihi had laju;
2. Tidak menggunakan tali pinggang keledar; dan
3. Keluar masuk simpang secara mengejut.

Selain itu, data turut menunjukkan kemalangan sendiri menggunakan kereta (self-accident) mencatat lebih 50 peratus kejadian, diikuti kemalangan kereta dengan kereta (30 peratus), dan kes langgar lari (10 peratus).

KESALAHAN LALULINTAS DAN KENDERAAN KOMERSIAL

Bagi kesalahan lalu lintas, sebanyak 24,200 kompaun dikeluarkan pada tahun 2020. Bagi tempoh 2021–2024, jumlah kesalahan berada dalam lingkungan 14,560 hingga 18,288 kes setahun, meliputi kesalahan seperti pemandu tidak berlesen, kenderaan diubah suai tanpa kebenaran, tidak menggunakan tali pinggang keledar, dan mengunakan telefon bimbit semasa memandu.

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan (2022–Julai 2025), sebanyak 2,475 kesalahan melibatkan kenderaan komersial direkodkan. Antara kesalahan utama termasuk membawa lebih muatan, memandu kenderaan tidak layak dari segi keselamatan, menggunakan tayar botak, memandu tidak mempunyai sijil kelayakan sah, serta mengusik atau memecahkan Speed Warning Device (SWD).

INISIATIF MKKJR
Bagi memperkukuhkan keselamatan jalan raya, MKKJR sedang dan telah melaksanakan beberapa inisiatif utama:

Pelan Strategik Baharu: Merangka Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2026–2030 yang lebih komprehensif bagi menggantikan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2021–2025.

Audit Jalan Raya: MKKJR dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya di Kementerian Pembangunan telah selasai menjalankan audit jalan raya Brunei Road Assessment Programme BruRAP2 oleh sebuah Syarikat dari New Zealand pada tahun 2024. Hasil daripada pengauditan tersebut telah mendapati yang 76% jalan raya utama di negara ini mencapai minimum 3 bintang, iaitu jalan raya yang lebih selamat dan mengurangkan risiko kecederaan serius atau kematian (fatal).

Speed Management Device: Sedang merancang untuk memasang Speed Management Device di beberapa lokasi telah dikenal pasti pada bulan September 2025 untuk mempamerkan dan memperingatkan pemandu akan had kelajuan kenderaan yang di pandu semasa melalui kawasan tersebut.

Kempen Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan: Bertema “Watch Your Speed, Watch the Road”, dilancarkan semasa Sidang media hari ini. Kempen bertujuan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dijalan raya dengan menasihatkan supaya pemandu-pemandu tidak lalai dan mematuhi had kelajuan yang ditetapkan, disamping menumpukan perhatian semasa berada dijalan raya. Kempen ini juga dihasrat untuk membendung trend kemalangan yang kian meningkat dan memupuk sikap bertanggungjawab sesama pengguna di jalan raya.

PENEKANAN MKKJR

MKKJR menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang lalu lintas, khususnya dengan memastikan lesen memandu dan lesen kenderaan sah laku, kenderaan berada dalam keadaan baik, menggunakan tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, mematuhi had kelajuan serta memastikan keadaan selamat sebelum keluar simpang atau membuat pusingan U.
MKKJR menekankan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan daripada agensi-agenis kerajaan, sektor swasta dan masyarakat umum demi kesejahteraan semua pengguna jalan raya di Negara Brunei Darussalam.

Disediakan oleh:-
Majlis Kebangsaan Keselamatan Jaan Raya (MKKJR)
20 Ogos 2025.



Attachments
News