Sign In

Bengkel Transformasi Digital Brunei

Aug 26, 2025
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bersama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), telah mengadakan Bengkel Transformasi Digital Brunei di Dewan Mawaddah, Setia Point, Berakas. 

Bengkel sehari tersebut bertujuan untuk melibatkan pihak-pihak berkepentingan didalam menggubal Digital Brunei Transformation Plan yang merupakan kesinambungan dan pembaharuan kepada Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 yang akan berakhir pada penghujung tahun ini. Lebih dari 100 peserta telah mengambil bahagian dan terdiri daripada Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, wakil-wakil kementerian dan agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sektor industri dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan penting dalam pembangunan digital negara.

Bengkel dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Setiausaha Majlis Digital Brunei. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan bengkel ini sebagai platform yang menghimpunkan pandangan daripada sektor awam dan swasta, bukan sahaja untuk membincangkan hala tuju kerajaan, tetapi juga untuk bersama-sama membentuk tindakan dan inisiatif yang akan memacu fasa seterusnya bagi transformasi digital Brunei.



Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi didalam ucapannya menjelaskan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam didalam titah sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda ke-79 tahun, telah memperkenankan penyediaan Digital Brunei Transformation Plan. Yang Berhormat menegaskan bahawa transformasi digital tidak dapat dicapai oleh kerajaan semata-mata, malah memerlukan usaha kolektif yang menyatukan sektor awam, industri swasta, institusi akademik dan masyarakat umum kearah hala tuju yang sama.



Menurut Yang Berhormat, Digital Brunei Transformation Plan mestilah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, memperkasa tenaga kerja dengan kemahiran digital serta memastikan keterangkuman dan kepercayaan digital dalam masyarakat. Justeru, bengkel ini amat penting kerana ia bukan sekadar membincangkan teknologi, tetapi turut menentukan bagaimana transformasi digital akan membentuk ekonomi, masyarakat dan masa depan negara. Tiga hasil utama yang dihasratkan  daripada bengkel ini ialah senarai tindakan keutamaan, dasar-dasar sokongan, serta komitmen bersama antara kerajaan, industri dan masyarakat dalam usaha untuk bergerak maju secara seiring.

Bengkel turut menampilkan pembentangan mengenai Digital Brunei Transformation Plan yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Dr Adrian bin Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman, Pemangku Pengarah Bahagian Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, selaku Sekretariat Majlis Digital Brunei. Pembentangan ini turut menggariskan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pelbagai pihak di dalam menyokong Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, serta strategi peringkat tinggi bagi pelaksanaan transformasi digital negara.



Difasilitasi oleh Long Street Advisor (LSA), bengkel ini turut mengetengahkan beberapa sesi perbincangan berkumpulan, di mana para peserta membincangkan tindakan-tindakan utama, keperluan dasar serta penglibatan pelbagai institusi. Perbincangan tersebut menjurus kepada enam (6) bidang utama, iaitu keutamaan digital kerajaan, tenaga kerja berkemahiran digital, keterangkuman dan keselamatan masyarakat, ekonomi digital, teknologi sedia masa depan serta kecerdasan buatan (AI).



Bengkel diakhiri dengan ucapan rumusan oleh Yang Mulia Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, yang menekankan komitmen berterusan semua pihak dalam menjayakan agenda transformasi digital Brunei sebagai tonggak penting kea rah pencapaian Wawasan Brunei 2035.

[TAMAT]

Dikeluarkan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI)
Emel: erc@mtic.gov.bn 
27 Ogos 2025


Attachments
News