Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) hari ini telah menerima kunjungan rasmi daripada Yang Berhormat Datuk Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan Sarawak, Malaysia bertempat di Rizqun International Hotel di Bandar Seri Begawan.
Lawatan rasmi Yang Berhormat Menteri Pengangkutan Sarawak, Malaysia dimulakan dengan kunjungan muhibah kepada Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Negara Brunei Darussalam.
Semasa sesi kunjungan muhibah tersebut, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperkukuhkan kerjasama dalam sektor pengangkutan darat, maritim dan udara, termasuk aspek keselamatan, pembangunan infrastruktur serta peluang kolaborasi di antara Negara Brunei Darussalam dan Sarawak, Malaysia.
Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Manakala, turut mengiringi Yang Berhormat Datuk Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan Sarawak, Malaysia ialah Datuk Dr. Jerip anak Susil, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Aviation and Road), Tuan Selamat Jati Yanjah, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan.
Lawatan rasmi diteruskan dengan Mesyuarat Dua Hala antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Kementerian Pengangkutan Sarawak. Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Yang Berhormat Datuk Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan Sarawak, Malaysia.


Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan pengarah-pengarah jabatan serta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Penerbangan Awam, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, serta delegasi Kementerian Pengangkutan Sarawak, Malaysia.
Mesyuarat membincangkan beberapa perkara utama termasuk:
• Pertukaran maklumat mengenai dasar dan pencapaian projek sektor pengangkutan serta rentas sempadan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak;
• Perbincangan kerjasama dua hala dalam meningkatkan pergerakan kenderaan, penumpang dan barangan merentas sempadan serta usaha memperkukuhkan ketersambungan dengan negara-negara serantau; dan
• Perkongsian maklumat mengenai agenda kelestarian sektor penerbangan di peringkat rantau.
Pada sebelah petang, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan Sarawak turut mengadakan sesi perjumpaan bersama syarikat-syarikat berkaitan dengan logistic termasuk penerbangan dan perkapalan tempatan Negara Brunei Darussalam.
Lawatan rasmi ini bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pengangkutan dan logistik, khususnya bagi meningkatkan pergerakan penumpang dan barangan, memupuk pertumbuhan ekonomi bersama, serta meneroka peluang kerjasama yang lebih erat di antara Negara Brunei Darussalam dan Sarawak, Malaysia. Kunjungan ini juga menandakan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam mempererat hubungan dua hala serta membuka lebih banyak peluang kerjasama yang mampu memberikan manfaat bersama kepada rakyat dan ekonomi kedua-dua pihak.
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Emel: erc@mtic.gov.bn
29 Ogos 2025