Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengadakan Majlis membaca Surah Yaasin, tahlil, dan doa kesyukuran sempena memperingati Sambutan Hari Pos Sedunia yang ke-151 tahun yang bertemakan“Pos Untuk Semua: Perkhidmatan Tempatan. Jangkauan Global” | “Post For People: Local Service. Global Reach”. Majlis tersebut diadakan pada petang ini bertempat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa, Berakas.
Hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia, Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Turut hadir ialah Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian, Pegawai-Pegawai Kanan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin, tahlil dan doa kesyukuran yang dipimpin oleh Yang Mulia Haji Mohd Ashraf bin Haji Bujang, Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas, dan diteruskan dengan sembahyang fardhu Asar berjemaah.
Hari Pos Sedunia (World Post Day) diraikan setiap tahun pada 9 Oktober oleh para penyedia perkhidmatan pos dari negara-negara ahli Kesatuan Pos Sedunia (UPU) bagi memperingati kepentingan dan peranan perkhidmatan pos. dalam kehidupan masarakat.
Tema tahun ini memaparkan pos sebagai perkhidmatan awam yang penting serta mempunyai kemampuan untuk menjangkau seluruh dunia, menghubungkan orang ramai dan perniagaan, serta menyokong perkembangan sosial dan ekonomi sama ada di peringkat tempatan mahupun global.
Kesatuan Pos Sedunia komited untuk memenuhi keperluan masa kini dan masa hadapan agar kekal relevan sebagai alat komunikasi dan perhubungan yang penting, selaras dengan Postal Vision 2030 yang digariskan oleh Kesatuan Pos Sedunia (UPU) untuk membentuk sektor pos yang berdaya tahan, inklusif, dan dinamik.
Disediakan oleh:
Jabatan Perkhidmatan Pos
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi