Bersempena dengan Sambutan Hari Pos Sedunia 2025, buat julung kalinya kejohanan Futsal Postal Cup telah dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian, Pegawai-Pegawai Kanan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Sebanyak lapan (8) pasukan telah menyertai kejohanan ini, dibahagikan kepada dua Kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B. Pasukan-pasukan tersebut terdiri daripada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jabatan Perkhidmatan Pos, Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Kajicuaca, Jabatan Pusat E-Kerajaan, Authority for Info-communicationsTechnology Industry (AITI) dan Maritime and Port Authority of Brunei Darussalam (MPABD).
Kejohanan Futsal Postal Cup 5 Orang Sepasukan menyaksikan Jabatan Penerbangan Awam berjaya menewaskan Jabatan Perkhidmatan Pos dengan keputusan 1 - 0 menerusi jaringan daripada pemain Jabatan Penerbangan Awam, Nombor 10, Mohamed Afif Hadi bin Roshidi.
Hadiah-hadiah kejohanan telah disempurnakan penyampaiannya oleh tetamu kehormat majlis. Jabatan Penerbangan Awam dinobatkan sebagai Juara Kejohanan Futsal Postal Cup Sempena Hari Pos Sedunia 2025 dan seterusnya merangkul Piala Rebutan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Naib Johan dimenangi oleh Jabatan Perkhidmatan Pos yang menerima Piala Iringan, manakala tempat Ketiga disandang oleh Jabatan Pusat E-Kerajaan (EGNC) yang membawa pulang Piala Iringan.
Selain itu, turut disampaikan ialah:
Hadiah Penjaring Terbanyak kepada Safiuddin Shah bin Haji Mahadi, Jabatan Perkhidmatan Pos;
Pemain Terbaik kepada Mohamed Afif Hadi bin Roshidi, Jabatan Penerbangan Awam; dan
Goleiro Terbaik kepada Muhammad Arib bin Haji Umar, Jabatan Perkhidmatan Pos.
Penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga Kementerian Pengangkutan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta agensi pihak berkuasa dibawahnya. Pada masa yang sama, ia diharapkan dapat menjadi platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat, memupuk disiplin serta meningkatkan kecergasan fizikal.
Sukan futsal ini juga merupakan salah satu acara sampingan bersempena dengan Sambutan Hari Pos Sedunia 2025.
Disediakan oleh:
Jabatan Perkhidmatan Pos
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikas