Negara Brunei Darussalam telah menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN ke-88 (COSTI-88) serta mesyuarat-mesyuarat lain yang berkaitan, yang berlangsung dari 19 hingga 24 Oktober 2025 di Bangkok Thailand. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Puan Yang Terutama Dr. Boediastoeti Ontowirjo, Deputi Bidang Kebajikan Riset dan Inovasi, BRIN Indonesia, dan bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama serta menggalakan daya saing serantau dalam bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) di ASEAN.
Antara hasil utama yang dicapai sepanjang Mesyuarat COSTI-88 adalah perbincangan mengenai perkembangan terkini serta menilai status pencapaian Priority Economic Deliverable (PED) tahun 2025 iaitu ASEAN Technology Startup Ignite dengan objektif untuk meningkatkan inovasi berasaskan teknologi dan keusahawanan di seluruh rantau ASEAN. Inisiatif yang telah berjaya dilaksanakan adalah
i. Pelancaran rasmi Startup ASEAN Platform pada 25 Jun 2025; dan
ii. Hackathons/Pitch Competition/ Startup Accelerator pada 30 Julai 2025.
Manakala projek-projek dibawah Keutamaan Tahunan 2025 telah mencapai objektif projek masing-masing. Projek-projek berkenaan adalah
i. Strengthening ASEAN Research Cooperation on Nuclear Safety and Risk Assessment and Management;
ii. The Engagement of the ASEAN Talent Mobility (ATM);
iii. Enhancing Battery Safety in Enabling Energy Transition in ASEAN through ASEAN Battery Safety Network;
iv. Building ASEAN High Performance Computing Infrastructure for Enabling Research in Advanced Computing.
Berhubung dengan ini, projek ASEAN Journal on Science and Technology for Development (AJSTD) yang diterajui oleh Brunei Darussalam telah berjaya mencapai objektifnya dalam memajukan analisis akademik di ASEAN melalui teknologi AI serta memperkukuh penerbitan saintifik serantau.
Mesyuarat COSTI-88 juga telah meluluskan penstrukturan semula jawatankuasa kecil di bawah COSTI bagi meningkatkan kecekapan, memperkukuh pelaksanaan program, dan mengoptimumkan penggunaan sumber dalam agenda sains, teknologi dan inovasi serantau. Penstrukturan ini akan berkuat kuasa pada Januari 2026 dan melibatkan pengurangan jawatankuasa kecil daripada sembilan (9) kepada lima (5) melalui penggabungan.
Selepas Mesyuarat COSTI-88, Mesyuarat The 13th Meeting of ASEAN-U.S. Consultancy on Science and Technology (AUSCST-13), The 12th Meeting Of The ASEAN-Russia Working Group On Science, Technology And Innovation (ARWGSTI-12) dan The 2nd Meeting Of ASEAN-UK Dialogue On Science, Technology And Innovation (AUKDSTI-2) diadakan. Mesyuarat-Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada perkembangan kerjasama sains, teknologi, dan inovasi antara ASEAN dengan rakan-rakan dialognya, iaitu Amerika Syarikat, Russia dan United Kingdom.
Turut diadakan adalah Majlis Penganugerahan The Underwriter’s Laboratories Research Institutes-ASEAN-U.S. Science Prize for Women 2025. Tahun ini, tema pertandingan menekankan Generative AI For Smart Water Management. Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Yang Mulia Dr. Hjh Wida Susanty Haji Suhaili; Penolong Profesor Kanan dari Universiti Teknologi Brunei telah memenangi Kategori Saintis Kanan (Senior Scientist Category) dengan tajuk Smart Water Management Systems Using IOT in disaster management and food security in Brunei Darussalam.
.jpeg)
Selain itu, turut diadakan pertemuan dua hala secara berasingan antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dengan Agency for Science, Technology and Research (A*STAR) Singapura serta dengan Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia. Pada masa ini, Brunei Darussalam sedang membangunkan Kerangka Kerja Sains, Teknologi dan Inovasi (STI). Negara ini ingin memastikan strategi tersebut sejajar dengan keutamaan dan hala tuju serantau yang digariskan dalam APASTI 2026–2025, khususnya dalam usaha membina ekosistem STI yang inklusif dan mampan di peringkat negara dan serantau. Oleh itu, pertemuan ini adalah bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan STI termasuk peluang kerjasama penyelidikan, pertukaran / penempatan penyelidik disamping mempelajari amalan terbaik yang boleh diterapkan dalam pelaksanaan strategi itu nanti.
Delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat-mesyuarat telah diketuai oleh Yang Mulia Ir. Mohammad Nazri Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC). Delegasi Brunei turut disertai pegawai-pegawai dan wakil-wakil daripada MTIC, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI), Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC)
Emel: erc@mtic.gov.bn