Sign In

Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Sedunia 2025

Nov 13, 2025

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddin Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam (MKKJR) telah berkenan berangkat selaku Tetamu Kehormat ke Sambutan Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Sedunia bagi Tahun 2025 yang diadakan di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.

Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Sedunia merupakan inisiatif antarabangsa yang disambut dalam minggu ketiga bulan November setiap tahun. Ianya bertujuan untuk memperingati mangsa-mangsa kemalangan jalan raya serta keluarga mereka yang turut terkesan akibat tragedi tersebut.

Bertemakan “Watch Your Speed, Watch the Road”, sambutan tahun ini menekankan pentingnya kesedaran terhadap kepatuhan had laju, berhati-hati semasa memandu serta menghormati hak setiap individu untuk menikmati perjalanan yang selamat di jalan raya. Nilai ini turut mencerminkan prinsip kesejahteraan dan kesaksamaan yang selaras dengan Maqasid Syariah. 

Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dijunjung oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi MKKJR; Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos,  Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri selaku Timbalan Pengerusi MKKJR; Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei selaku Ahli MKKJR; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Ahli MKKJR; dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Setiausaha MKKJR. 

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna turut berkenan menandatangani lembaran kenangan keberangkatan sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Sedunia bagi Tahun 2025.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustapa bin Haji Murat, diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi MKKJR.

Semasa majlis tersebut, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna telah berkenan mengurniakan Sabda Khas dan seterusnya melancarkan “Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2030” atau “Road Safety Action 2030”, terbitan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR). 

“Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2030” ini menggantikan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2025 dan mentakrifkan matlamat serta hasil yang ingin dicapai, dengan tindakan-tindakan khusus yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dari 2026 hingga 2030 bagi memperkukuh keselamatan jalan raya di Negara Brunei Darussalam. Ia juga merupakan tindak balas terhadap trend kemalangan dan kadar korban nyawa akibat kemalangan jalan raya, seiring dengan usaha negara untuk mewujudkan sistem jalan raya yang lebih selamat, berdaya tahan dan berkesan untuk semua pengguna.

Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan menyaksikan persembahan Bicara Berirama daripada para pemenang pertandingan Bicara Berirama iaitu Sekolah Freda Radin, Johan bagi kategori sekolah rendah, serta Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Johan bagi kategori sekolah menengah. Sebanyak 27 buah sekolah rendah dan 11 buah sekolah menengah telah menyertai pertandingan tersebut yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan sebagai salah satu inisiatif Kumpulan Tindakan Penyelidikan dan Perkembangan (KTPP), MKKJR.

Turut hadir ialah Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Negara Brunei Darussalam, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Ahli-Ahli MKKJR, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan Kerajaan, wakil-wakil sektor swasta, pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), sekolah-sekolah memandu serta institusi-institusi pendidikan.

Pada sebelah petang, turut diadakan dua sesi forum bertajuk “Every Life Counts: Break the Trend, Aim for Zero Fatality” dan “SMART Shift for Shaping Safety in Heavy Vehicle”, yang antara lain membincangkan strategi keselamatan jalan raya berasaskan data, hasil penilaian BruRAP2, serta langkah-langkah memperkukuh pengurusan keselamatan kenderaan berat melalui teknologi pintar seperti In-Vehicle Monitoring System (IVMS).
Dalam kesempatan ini, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu mengikut had laju yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain. Setiap pemandu juga diingatkan untuk tidak memandu secara cuai, melampaui had kelajuan, dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, kerana tindakan sedemikian bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah boleh mengancam nyawa orang lain.

Sikap berhemah, berdisiplin dan menghormati undang-undang jalan raya merupakan asas kepada pembentukan budaya pemanduan yang selamat di Negara Brunei Darussalam serta cerminan tanggungjawab bersama dalam menjaga keselamatan di jalan raya.





Disediakan oleh:
Majlis Kebangsaaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR)
Negara Brunei Darussalam

Emel: erc@mtic.gov.bn 




Attachments
News