Sign In

Sesi Muzakarah (Townhall) Pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos

Nov 15, 2025
Kira-kira 220 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah menghadiri Sesi Muzakarah (Townhall) Pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos yang berlangsung di Seri Qlap Mall pada hari sabtu 15hb November 2025.

Sesi Muzakarah ini merupakan kesinambungan daripada beberapa sesi-sesi muzakarah yang telah diadakan bersama kesemua warga Jabatan Perkhidmatan Pos untuk menjadikan proses pengkorporatan berkenaan lebih telus dalam memahami perjalanan transformasi Jabatan Perkhidmatan Pos kepada Syarikat Posbru Sdn Bhd.



Semua fungsi dan operasi Jabatan Perkhidmatan Pos akan diambil alih secara rasminya oleh Syarikat POSBru Sdn Bhd, sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government Linked Company). Tarikh bermulanya operasi POSBru Sdn. Bhd.  akan diumumkan kepada orang ramai kemudian.



Hadir ke sesi muzakarah tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal) selaku Pengerusi Lembaga Pengarah PosBru Sdn Bhd, dan Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohamad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) beserta wakil-wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Awan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pihak Berkuasa Industri Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Syarikat PosBru Sdn Bhd.







Sesi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan taklimat pengkorporatan oleh pihak PosBru Sdn Bhd. Sesi turut disusuli dengan soal jawab yang berlangsung secara interaktif, memberi ruang kepada pegawai dan kakitangan untuk mendapatkan pencerahan terhadap soalan-soalan yang dikemukakan.

 









Disediakan oleh:
External Relations & Communciations
MTIC
Emel: erc@mtic.gov.bn


Tarikh: 17 November 2025



Attachments
News