Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, telah mengadakan Field Training Exercise (FTX) bagi Latihan Kecemasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Eksesais Bangau Putih 2025, pada 13 November 2025.
Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan respon kecemasan semua agensi berkepentingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Usaha ini turut menekankan kepentingan pemahaman terhadap peranan masing-masing serta pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menangani insiden yang tidak dijangka, khususnya melibatkan nahas pesawat. Di samping itu, latihan ini menilai keberkesanan komunikasi, koordinasi operasi serta kecekapan respons kolektif antara agensi yang terlibat.
Latihan berlangsung selama kira-kira tiga jam bermula jam 9.00 malam hingga 12.00 tengah malam, dan dilaksanakan sepenuhnya di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Latihan ini melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Penerbangan Awam, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei serta agensi-agensi lain di bawah Pelan Kecemasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Hadir menyaksikan latihan tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta wakil-wakil agensi berkepentingan.
Pelaksanaan latihan ini diharap dapat memperkukuh kesiapsiagaan semua agensi dalam menangani insiden kecemasan di lapangan terbang, khususnya dalam aspek penyaluran maklumat, koordinasi antara pasukan dan kecekapan sistem perhubungan. Latihan ini juga menyediakan ruang untuk maklum balas konstruktif bagi meningkatkan rangka kerja pengurusan krisis secara menyeluruh.
Disediakan oleh:
Jabatan Penerbangan Awam
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam
E-mel: info.dca@dca.gov.bn
Tarikh: 24 Jamadilawal 1447 / 15 November 2025