Sabda Khas
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna Binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,
Ambassador-At-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri,
Selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR)
Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Sedunia 2025
Tarikh: Hari Rabu, 13 November 2025
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama menyambut Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Sedunia bagi tahun 2025. Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, kaum kerabat serta pengikut-pengikut Baginda yang jujur dan taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
2. Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Sedunia ini adalah satu hari yang penting bagi mengenang mereka yang telah kehilangan nyawa atau terjejas akibat kemalangan lalu lintas. Ia juga memberi kesempatan bagi kita semua merenung kembali tentang tanggungjawab kolektif untuk menjadikan jalan raya di negara ini lebih selamat.
3. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua agensi-agensi kerajaan terutamanya Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya, pihak swasta dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (N.G.O), yang telah giat melaksanakan pelbagai usaha berterusan secara turun padang dengan menangani isu-isu yang dihadapi, dan mengendalikan program-program kesedaran orang ramai. Saya berharap semua yang terlibat akan terus bekerjasama dan berusaha dengan gigih ke arah mempertingkatkan lagi keselamatan jalan raya di negara ini.
4. Alhamdulillah, atas komitmen semua, saya difahamkanNegara Brunei Darussalam berjaya mengurangkan jumlah kematian lalu lintas sebanyak 50% di sepanjang dekad yang lalu, iaitu di antara tahun 2010 dan tahun 2020. Akan tetapi, sejak tahun kebelakangan ini, saya difahamkan terdapat trend peningkatan jumlah kemalangan dan juga kematian yang sangat membimbangkan dan semestinya, menjadi pendorong untuk bertindak lebih gigih dan pro-aktif dalam menangani keadaan tersebut.
5. Dalam hal ini, saya ingin memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan kepentingan menggunakan hasil audit dan data bersepadu sebagai asas kukuh dalam merancang tindakan pembaikan jalan raya dan pengubalan dasar, termasuk menetapkan sasaran penarafan keselamatan minimum tiga bintang bagi jalan-jalan utama di seluruh negara.
6. Baginda turut menekankan perlunya penguatkuasaan undang undang jalan raya dipertingkatkan melalui pendekatan yang strategik dan berkesan serta penyediaan Plan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2026 hingga 2030 hendaklah melibatkan pelbagai pihak berkepentingan secara inklusif. Petikan titah tersebut menjadi panduan jelas bahawa usaha ke arah keselamatan jalan raya mesti bersifat menyeluruh, berterusan dan berasaskan data.
7. Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya adalah satu wadah penting untuk menyelaraskan tindakan bersepadu, bersistematik dan berimpak tinggi untuk mencapai sasaran sasaran yang telah ditetapkan.
8. Dalam hubungan ini, saya amat sukacita dan menghargai usaha M.K.K.J.R dalam menghasilkan dan melancarkan sebuah buku “Road Safety Action 2030” pada hari ini.
9. Pelancaran buku ini juga merupakan salah satu usaha bagi menyahut initiatif “The Second Decade of Action for Road Safety 2021 to 2030” yang telah diistiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan sasaran untuk mencegah sekurang-kurangnya 50% kematian dan kecederaan akibat kemalangan lalu lintas menjelang tahun 2030. Sasaran ini telah juga diguna pakai oleh negara-negara ahli ASEAN.
10. Semoga segala niat murni dan berkebajikan untuk menjadikan jalan raya di Negara Brunei Darussalam lebih selamat dan mendapat keberkahan, sentiasa dilindungi Allah Subhanahu Wata‘ala daripada sebarang musibah serta dikurniakan taufik dan hidayah untuk mencapai matlamat sifar kematian jalan raya. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.