Sign In

Acara Pelancaran Kajian Persediaan Negara Brunei Darussalam untuk ASEAN ‘Digital Economic Framework Agreement’ (DEFA)

Nov 19, 2025
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah mengadakan Acara Pelancaran Kajian Persediaan Negara Brunei Darussalam untuk ASEAN ‘Digital Economic Framework Agreement (DEFA) di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Tujuan kajian ini diadakan adalah bagi mendapatkan input, maklum balas dan pandangan daripada agensi kerajaan, sektor swasta, institusi akademik serta pihak industri, yang akan membantu dalam penyediaan laporan kajian kesiapsiagaan Negara Brunei Darussalam didalam pelaksanaan DEFA (DEFA Readiness Study) dan memastikan pendekatan negara sejajar dengan aspirasi serantau dan halatuju transformasi digital Brunei Darussalam. 

Melalui sesi ini, para peserta berpeluang untuk memahami dengan lebih mendalam objektif, struktur dan keutamaan DEFA, serta menilai peranan dan kesiapsiagaan Negara Brunei Darussalam dalam melaksanakan komitmen di bawah perjanjian tersebut.



Sesi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud Bin Haji Abdul Karim, Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) merupakan perjanjian dkalangan negara-negara ASEAN yang bertujuan untuk memperkukuh integrasi digital serantau, meningkatkan perdagangan digital rentas sempadan, serta mempertingkatkan kepercayaan terhadap sistem digital dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.  Bagi Negara Brunei Darussalam, kajian ini merupakan satu penilaian strategik terhadap ekosistem digital, yang merangkumi dasar, rangka kerja perundangan serta infrastruktur digital yang sedia ada adalah selaras dengan keperluan ekonomi digital yang berkembang pesat.



Didalam sesi tersebut, satu pembentangan mengenai ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) telah disampaikan oleh Awang Aminudin Zaki bin DP Haji Abd Rahman, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.  Pembentangan tersebut menyentuh  pengenalan menyeluruh mengenai ASEAN DEFA, termasuk perkembangan status rundingan (negotiation status) dalam usaha menyokong pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 serta Pelan Transformasi Digital Brunei. Sesi ini juga bermatlamat untuk membantu para peserta memahami kepentingan strategik DEFA kepada Brunei Darussalam dalam usaha memperkukuh kedudukan negara dalam ekosistem ekonomi digital serantau.





Seterusnya, pembentangan oleh pihak Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) mengenai kaedah dan metodologi kajian yang digunakan dalam pelaksanaan Kajian DEFA (DEFA Readiness Study) juga telah disampaikan bagi menjelaskan pendekatan analisis serta indikator utama yang akan digunakan bagi menilai tahap kesiapsiagaan Negara Brunei Darussalam dalam aspek dasar, infrastruktur digital, keupayaan institusi, dan penyertaan sektor swasta.






Melalui sesi ini, para peserta  diharap akan dapat gambaran yang lebih jelas tentang proses kajian, termasuk tahap penglibatan pihak berkepentingan serta hasil yang diharapkan bagi menyokong perancangan dasar dan strategi negara dalam pelaksanaan ASEAN DEFA.

Disediakan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam



Attachments
News