Sesi Perjumpaan Muhibah antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang telah diadakan pada pagi ini bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara menghadiri Sesi tersebut diketuai oleh Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan.
Bagi memberkati majlis, Sesi Perjumpaan Muhibah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Muhd Zakaria bin Haji Mohd Salleh, Pegawai Hal Ehwal Masjid.
Seterusnya, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan juga memperkenalkan Pelan Strategik baharu Kementerian bagi tempoh lima tahun 2026–2030, yang dikenali sebagai MTIC 2030.
Sesi kemudianya diteruskan dengan ucapan balas oleh Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan selaku Ketua Rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Sesi Perjumpaan Muhibah ini turut membuka ruang dan kesempatan kepada sesi pertukaran pandangan serta buah fikiran secara terbuka antara MTIC dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, khususnya dalam merancang langkah-langkah ke hadapan ke arah mencapai cita-cita kemajuan Negara Brunei Darussalam, di samping meneliti cadangan serta pandangan Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi terus menyokong visi dan hala tuju Kementerian ini.
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara meluangkan masa menghadiri Sesi Perjumpaan Muhibah tersebut, yang mencerminkan sokongan serta kerjasama erat dalam membentuk hala tuju sector pengangkutan dan infokomunikasi negara.
Yang Berhormat Menteri turut menegaskan bahawa hala tuju MTIC adalah berpaksikan kepada Wawasan Brunei 2035, khususnya melalui peglibatan dalam pelaksanaan Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint, dengan MTIC memainkan peranan sebagai pemudah cara kepada pembangunan modal insan, ekosistem digital, keterhubungan dan perkhidmatan logistik.
Ucapan tersebut juga merumuskan kemajuan MTIC sepanjang tahun 2025, antaranya melibatkan aspek keselamatan pengangkutan dan siber, pendigitalan perkhidmatan, pemodenan sistem maritim, serta pelaksanaan inisiatif yang menyumbang kepada ekonomi dan peningkatan hasil negara.
Selain itu, Yang Berhormat turut mengongiskan tentang perkembangan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN 12) yang dibawah MTIC, dan status projek perkhidmatan pengangkutan awam. Rundingan sedang berjalan bersama syarikat yang telah disenarai pendek kearah memantapan pelan operasi, struktur pembiayaan dan perangkaan perjanjian perkhidmatan.
Rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga berkesempatan meninjau pameran maklumat, khususnya mengenai Ristaan Utama 2025 yang menumpukan kepada pencapaian MTIC sepanjang tahun 2025, projek-projek Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 di bawah MTIC, Pelan Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2030, serta Pengenalan Brunei Identiti Digital (Brunei ID).
Turut hadir dalam Sesi Perjumpaan Muhibah tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi); Ketua-Ketua Eksekutif Autoriti dan Pihak Berkuasa, Pesuruhjaya Interim Cyber Security Brunei (CSB), Pengarah-Pengarah Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian dan Unit, serta Pegawai-Pegawai Kanan dan Pegawai-Pegawai Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa dibawahnya.
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam