Sign In

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Jabatan-Jabatan, Autoriti dan Pihak Berkuasa di Bawahnya Tahun 1447H / 2026M

Mar 10, 2026
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) serta Jabatan-Jabatan, Autoriti dan Pihak Berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim bagi tahun 1447H/2026M pada hari ini bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Majlis tahun ini telah dikelolakan oleh Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC).

Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. 



Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Imam Aisamuddin@Aliomar bin Alias, Imam Tingkat III, Jabatan Hal Ehwal Masjid. Majlis seterusnya diserikan dengan ceramah khas yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama dari Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang bertajuk "Al-Quran di Tangan, Adakah di Hati dan Menjadi Teman Hidup".



 

 

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Seramai 42 orang anak-anak yatim yang terdiri daripada kalangan ahli keluarga warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, serta Jabatan-Jabatan, Autoriti dan Pihak Berkuasa di bawahnya telah menerima sumbangan tersebut. 



Majlis ini merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan MTIC bagi memperingati peristiwa agung Nuzul Al-Qur’an iaitu peristiwa turunnya ayat-ayat Al-Qur’an yang pertama kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, disamping menambah kesedaran dalam menyantuni anak-anak yatim serta mengeratkan lagi hubungan tali silaturahim dikalangan pegawai-pegawai Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) serta Jabatan-Jabatan, Autoriti dan Pihak Berkuasa di bawahnya. 

Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-ketua Eksekutif, Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) serta Jabatan-Jabatan, Autoriti dan Pihak Berkuasa di bawahnya.






-TAMAT-
Disediakan oleh:

Jabatan Penerbangan Awam
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi 
Negara Brunei Darussalam



Attachments
News