Sign In

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran YSHHB 1447H / 2026M

Apr 4, 2026
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) merafak sembah setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli mengunjungi ruang pameran kementerian berserta Kerabat Diraja dan seterusnya berkenan menandatangani lembaran kenangan sempena Pameran Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) yang bertemakan “Kecerdasan Buatan sebagai Pemangkin Transformasi Digital Negara”, bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Negara Brunei Darussalam. 

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, dijunjung oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap; Yang Mulia Awang Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. 





Melalui pameran tersebut, MTIC mengetengahkan mengenai konsep serta potensi teknologi Artificial Intelligence (A.I.) dalam menyokong pembangunan transformasi digital negara, serta usaha berterusan Kerajaan dalam membina asas digital yang selamat dan mampan melalui pembangunan Pelan Transformasi Digital Brunei, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035. 



Pameran tersebut juga memperlihatkan demonstrasi interaktif yang membolehkan pengunjung untuk menghasilkan Kad Raya digital berasaskan Generative A.I di mana teknologi ini mengekalkan wajah pengguna sambil menjana imej baharu yang menampilkan pengguna dalam pakaian tradisional bercirikan futuristik dengan latar belakang gambaran Brunei pada masa hadapan. Selain itu, elemen interaktif ini bukan sahaja sebagai satu pengalaman pendidikan dan pembelajaran, tetapi juga memberi nilai tambah serta penekanan dari segi aspek kesedaran awam mengenai penggunaan A.I secara beretika, bertanggungjawab dan selamat. Antara aspek yang diketengahkan termasuk kepentingan Perlindungan Data Peribadi, memastikan keselamatan maklumat agar tidak disalahgunakan, serta Kesedaran Etika dalam penggunaan teknologi dengan penuh tanggungjawab, selaras dengan prinsip keselamatan siber dan kepercayaan masyarakat.






Attachments
News