Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) serta Jabatan-Jabatan, Autoriti dan Pihak Berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1448 dan Majlis Do’a Kesyukuran Jemaah Haji bagi Tahun 1448/2026, pada hari ini bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Turut hadir alah Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai Kanan, Pegawai serta kakitangan MTIC serta Jabatan-Jabatan, Autoriti dan Pihak Berkuasa di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Imam Awang Haji Mohammad Aduka bin Haji Abdul, Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, diikuti dengan ceramah khas sempena Sambutan Ilal Hijrah 1448 bertajuk ‘Hijrah Penyelamat Aqidah’, yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis ini merupakan antara aktiviti keagamaan tahunan anjuran MTIC yang bertujuan untuk memperingati dan memeriahkan sambutan Ilal Hijrah 1448 Hijrah, di samping mengeratkan silaturrahim dalam kalangan warga kementerian dan agensi di bawahnya. Majlis turut diadakan bagi meraikan kepulangan pegawai dan kakitangan yang telah kembali ke tanah air setelah menunaikan ibadah haji bagi musim haji tahun ini, serta sebagai tanda kesyukuran atas kesempatan untuk menunaikan rukun Islam kelima tersebut.
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI
Jalan Menteri Besar
Bandar Seri Begawan BB3910
Negara Brunei Darussalam
14 Muharram 1448H
30 Jun 2026