Sign In

Lawatan Kerja Program Perkembangan Eksekutif Siri ke-21 Tahun 2026 anjuran Kementerian Pertahanan

Jul 9, 2026

​Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah menerima lawatan kerja daripada Program Perkembangan Eksekutif Siri ke-21 Tahun 2026 anjuran Kementerian Pertahanan yang bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai inisiatif strategik negara dalam bidang pendigitalan, transformasi digital, perlindungan data, keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI).


Lawatan tersebut melibatkan seramai 29 orang peserta, termasuk pegawai-pegawai pengiring, yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), angkatan bersenjata dari luar negara, serta pegawai-pegawai kanan daripada pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan. Rombongan telah diketuai oleh Yang Mulia Dr Sabrina binti Dato Paduka Haji Mohd Daud, Pemangku Pengarah Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB).

Hadir memberikan ucapan alu-aluan ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Sepanjang lawatan tersebut, para peserta telah mengikuti beberapa sesi taklimat yang mengetengahkan pelbagai inisiatif utama negara dalam memperkukuhkan ekosistem digital. Antaranya ialah taklimat mengenai Digital Brunei 2030 yang disampaikan oleh Bahagian Teknologi dan Inovasi, MTIC; Digital ID oleh Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC); Digital Payment oleh National Digital Payments Network Sdn Bhd; Perintah Perlindungan Data Peribadi (Personal Data Protection Order) dan Etika Kecerdasan Buatan (AI) oleh Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi (AITI); serta Akta Sekuriti Siber yang disampaikan oleh Cyber Security Brunei (CSB).

Lawatan ini memberikan peluang kepada para peserta untuk memperoleh pemahaman yang lebih mendalam mengenai usaha-usaha Kerajaan dalam memacu transformasi digital negara, memperkukuh tadbir urus digital, serta meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam aspek keselamatan siber dan penggunaan teknologi digital yang selamat, beretika dan mampan.


Attachments
News