Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Maritim Brunei Darussalam (MPABD) telah mengadakan Bengkel Latihan Dalaman mengenai Teknik dan Pengurusan Siasatan Kemalangan (Udara dan Maritim) yang dikendalikan oleh Transport Safety Investigation Bureau (TSIB), Singapura, pada hari ini bertempat di Parkview Hotel, Jerudong.
Hadir di Acara Pembukaan bengkel tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohamad Salihin bin Haji Mohamad Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Bengkel yang berlangsung selama lapan (8) hari ini merangkumi dua tajuk utama, iaitu Aviation Investigation Techniques and Management Training yang diadakan pada 10 hingga 13 Ogos 2026, dan Marine Investigation Techniques and Management Training yang akan diadakan pada 17 hingga 20 Ogos 2026.
Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kompetensi dan keupayaan pegawai penyiasat dalam melaksanakan siasatan kemalangan udara dan maritim secara profesional, menyeluruh serta selaras dengan piawaian dan amalan terbaik antarabangsa. Sepanjang latihan, para peserta akan didedahkan kepada kaedah pengurusan tapak kejadian secara selamat, teknik pengumpulan dan analisis bukti, pengenalpastian faktor-faktor yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan, serta penyediaan laporan siasatan yang berkualiti bagi menyokong usaha mencegah kejadian yang sama daripada berulang.
Penganjuran bengkel ini merupakan salah satu inisiatif kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Penyiasatan Kemalangan dan Insiden Pesawat Udara serta Marin yang telah ditandatangani pada tahun 2017.
Seramai 30 orang peserta menyertai bengkel ini, yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan daripada agensi-agensi kerajaan serta pihak berkepentingan yang berkaitan, termasuk Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Tentera Udara Diraja Brunei (RBAF), Pihak Berkuasa Maritim Brunei Darussalam (MPABD) dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB).
Disamping memperkukuh pengetahuan teknikal, bengkel ini diharap akan dapat menjadi platform untuk mengeratkan kerjasama antara agensi, menggalakkan perkongsian pengetahuan dan pengalaman, serta memperkukuh jaringan profesional dalam bidang penyiasatan kemalangan udara dan maritim.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MTIC dalam mempertingkatkan keupayaan negara untuk menjalankan siasatan kemalangan yang bebas, telus, objektif dan berkesan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan sektor pengangkutan di Negara Brunei Darussalam.
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI
Jalan Menteri Besar
Bandar Seri Begawan BB3910
Negara Brunei Darussalam
26 Safar 1448H
10 Ogos 2026