Sign In

Majlis Dikir Syarafil Annam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1448 hijrah / 2026 masihi

Aug 19, 2026
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bersama jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi, bertempat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Imam Haji Mohammad Ashraf bin Haji Bujang, Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, sebelum diteruskan dengan bacaan Dikir Syarafil Anam. Selepas menunaikan Sembahyang Fardu Isyak berjemaah, majlis diteruskan dengan bacaan Dikir Asyarakal dan diakhiri dengan Doa Penutup Majlis Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Majlis Dikir Syarafil Anam merupakan antara aktiviti keagamaan tahunan Kementerian dalam sama-sama menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, di samping memperingati kelahiran dan menzahirkan kecintaan terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta menghayati jasa dan pengorbanan Baginda dalam menyampaikan risalah Islam. Majlis berkenaan juga dihasratkan untuk terus menyemarakkan syiar Islam serta memperkukuhkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya.



KEMENTERIAN PENGANGKUTAN DAN INFOKOMUNIKASI 
Jalan Menteri Besar
Bandar Seri Begawan BB3910
Negara Brunei Darussalam


Attachments
News