Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Khamis, 4 Julai 2024 - Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB)
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) terus mengukuhkan dan memperluaskan lagi kerjasama yang telah wujud sejak tahun 2014 dalam Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman yang berlangsung pada petang ini di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jalan Menteri Besar. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Imam Awang Haji Mohammad Ashraf bin Haji Bujang, Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, diikuti dengan ucapan oleh Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan diteruskan dengan ucapan oleh Yang Mulia Datin Paduka Professor Dr Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB).



Semasa majlis tersebut, Ketua Bahagian Penyelidikan dan Strategi telah menyampaikan taklimat ringkas mengenai hala tuju strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dengan berfokuskan kepada Pelan Strategik ‘MTIC 2025 Refresh’, Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2025, Kecerdasan Buatan atau ‘Artificial Intelligence’ (AI), Kerajaan Digital dan Pengangkutan serta matlamat hala tuju masa hadapan.

Majlis diteruskan dengan sesi memeterai Memorandum Persefahaman berkaitan dengan bidang pengangkutan dan infokomunikasi.  Menandatangani bagi pihak MTIC ialah Setiausaha Tetap, Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.  Sementara itu, mewakili UTB ialah Naib Canselor, Yang Mulia Datin Paduka Professor Dr Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.



Melalui penandatangan Memorandum Persefahaman ini akan dapat lagi menggalakkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama terutama sekali dalam inovasi, penyelidikan dan pambangunan (R&D).  Skop kerjasama telah diperluaskan antaranya merangkumi Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transport System, ITS), Mobiliti Pintar (Smart Mobility), Logistik Pintar (Smart Logistics), Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Siber, Ekonomi Digital, Teknologi Digital, Sains dan Inovasi.
 


Penandatanganan Memorandum Persefahaman ini juga akan membukakan peluang bagi MTIC dan UTB untuk bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman, berkongsi data dan maklumat yang berkaitan, meneroka potensi bagi mengadakan program, projek, seminar dan seumpamanya yang memberikan kepentingan dan faedah bersama.  




Disediakan oleh: 
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam 



Attachments