Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa Di Bawahnya telah mengadakan Majlis Penyampaian Pengurniaan Pingat Kehormatan Pingat Kerja Lama (P.K.L) Negara Brunei Darussalam Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-77 Tahun bagi Tahun 2023 bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC). Majlis telah dikelolakan oleh Jabatan Penerbangan Awam.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian pingat-pingat ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Imam Hj Mohammad Asyraf bin Haji Bujang, Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Seramai tiga puluh satu (31) orang telah menerima Pingat Kerja Lama (P.K.L) yang terdiri daripada lima (5) orang penerima dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), seorang (1) penerima dari Jabatan Pengangkutan Darat, tiga belas (13) orang penerima dari Jabatan Penerbangan Awam, dua (2) orang penerima dari Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, sembilan (9) orang penerima dari Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) dan seorang (1) dari Jabatan Kajicuaca.
Majlis diadakan sebagai pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada pegawai dan kakitangan yang telah berkhidmat lebih daripada dua puluh (20) tahun bagi mengenang jasa dan bakti yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa Di Bawahnya.
Disediakan oleh:
Jabatan Penerbangan Awam
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam