Kira-kira 80 orang peserta, terdiri daripada pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menghadiri “Jerayawara Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Di Tempat Kerja – Satu Hak Asasi” di Dewan Amar Pahlawan, MTIC.
Acara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Mohd Farhan bin Hj Mahidi, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Puan Nor Syahmun Binti Haji Matassan, Ketua Strategi Kesihatan Mental di Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan. Semasa jerayawara tersebut, dua sesi pengongsian ilmu berkaitan dengan Kesihatan Mental disampaikan oleh panelis, iaitu Yang Mulia Dyg. Yap Ai Peng, Psikologis dari Kementerian Kesihatan, dan Yang Mulia Ustaz Fariszal bin Ali, Penolong Kaunselor di Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Jerayawara juga mengandungi pameran mengetengahkan kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan di tempat kerja.
Jerayawara ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kepekaan orang ramai, khususnya dalam pencegahan penyakit mental dan pengurusan kesihatan mental disamping menjadi sebagai satu wadah untuk mengongsikan kepentingan penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan diri serta berhasrat untuk mengurangkan stigma sosial, serta pandangan negatif terhadap isu – isu berkaitan kesihatan mental khususnya di kalangan warga perkhidmatan awam. Pada masa yang sama, jerayawara ini diharapkan menjadi satu platform pemberigaan bagi perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan mental dan kesejahteraan diri yang terdapat di negara ini, sama ada di sektor kerajaan mahupun sektor swasta.
Jerayawara ini dikendalikan dengan kerjasama di antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan sokongan padu daripada Bahagian Kaunseling, Jabatan Perkhidmatan Awam, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Clarity Sdn. Bhd.