Seramai 35 orang peserta-peserta termasuk pegawai-pegawai pengiring daripada Program Perkembangan Eksekutif Siri ke-19 bagi tahun 2024 anjuran Kementerian Pertahanan telah mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC).
Peserta-peserta Program Perkembangan Eksekutif Siri ke-19 bagi tahun 2024 terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata dari luar negara dan juga pegawai-pegawai kanan dari pelbagai Kementerian dan jabatan-jabatan Kerajaan.
Rombongan telah diketuai oleh Yang Mulia Haji Abdul Malik bin Haji Kamis, Pemangku Pengarah Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB).
Hadir untuk memberi ucapan alu-aluann ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Peserta-peserta program tersebut telah berkesempatan untuk mendengar taklimat mengenai visi, dasar-dasar dan pelan-pelan tindakan MTIC yang telah disampaikan oleh Ketua Bahaian Penyelidikan dan Strategi; dan taklimat mengenai peranan Kementerian dalam pengurusan keselamatan siber, memantau ancaman siber dan menangani ancaman siber yang telah disampaikan oleh pegawai-pegawai daripada Cyber Security Brunei (CSB).