Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Khamis, 19 September 2024 - MTIC Raikan Maulidur Rasul
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1446H/2024M pada hari ini. ​Majlis berkenaan dikelolakan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) di Dewan Amar Pahlawan, MTIC.

Majlis diberkati dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Saufi bin Haji Suhaini, Pegawai Hal-Ehwal Masjid, Jabatan Hal-Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara.



Majlis seterusnya diserikan dengan Ceramah Khas bertajuk “Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallama” yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Mohd Sharol Azmi bin Haji Abdul Muluk, Penolong Ra’es, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan bersama Yang Mulia Awang Muhammad Syamim Farhan bin Haji Sufri, Pembantu Kanan Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah selaku moderator.



Majlis kemudian dimeriahkan dengan persembahan Dikir Marhaban daripada Kumpulan Dikir MTIC sebelum diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi kepada penceramah undangan dan moderator.

Majlis berkenaan dihadiri oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Turut hadir ialah Yang Mulia Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi); Yang Mulia Awang Ridzuan bin Haji Ahmad, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan); Ketua-Ketua Jabatan serta Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.



Majlis hari ini adalah antara aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya untuk memeriahkan lagi sambutan acara-acara keagamaan.



(TAMAT)


Attachments