Anugerah Saintis Pertengahan Kerjaya (Mid-Career Scientist) telah dimenangi oleh Dr. Daphne Teck Ching Lai dari School of Digital Science, Universiti Brunei Darussalam, yang diiktiraf atas aplikasi inovatif sains data dan kecerdasan buatan (AI) dalam konteks ketahanan dan penyesuaian iklim. Penyelidikan Dr. Lai melibatkan pemantauan hutan tanah gambut (peatland) yang penting di Asia Tenggara, menjalankan analisis kualiti air yang dipacu oleh AI, dan membangunkan penyelesaian tenaga hijau. Penggunaan AI dalam penyelidikannya memainkan peranan penting dalam pengurusan sumber yang mampan serta pengurangan kesan perubahan iklim.
Acara yang diadakan di Singapura itu menyaksikan penyertaan daripada lebih 250 pemohon daripada lebih 60 institusi-institusi di Wilayah ASEAN. Anugerah ini meraikan sumbangan luar biasa saintis wanita kepada usaha penyesuaian iklim di Asia Tenggara.
Sejak penubuhannya pada 2014, Underwriters Laboratories-ASEAN-U.S. Science Prize for Women ini telah meraikan pencapaian lebih 400 saintis wanita dari semua 10 Negara-negara Ahli ASEAN, mempromosikan kesaksamaan jantina dalam STEM dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk meneruskan kerjaya dalam bidang sains.