Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Isnin, 25 November 2024 - Negara Brunei Darussalam sebagai Tuan Rumah Acara Berprestij Anugerah Bersekutu ICT Asia Pasifik (APICTA) 2024
Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran acara Anugerah Bersekutu ICT Asia Pasifik atau Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) 2024 yang akan berlangsung pada 4 hingga 7 Disember 2024. Acara berprestij ini yang dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB), menyerlahkan komitment negara dalam memupuk inovasi dan kecemerlangan teknologi.

Penganjuran bagi acara ini diumumkan oleh Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Kerja Anugerah APICTA 2024 semasa sidang media yang diadakan di Brunei Innovation Lab, Bangunan Knowledge Hub (KHUB), Anggerek Desa.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Yang Mulia Awang Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Yang Mulia Awang Haji Jailani bin Haji Buntar, Ketua Eksekutif AITI dan Pg Sarimah binti Pg Hj Abd Latiff, Pengerusi, IFB selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Kerja Anugerah APICTA 2024 dan Ketua Hakim Anugerah APICTA 2024.

Anugerah APICTA,  diadakan setiap tahun sebagai platform persaingan yang meraikan inovasi dan kreativiti, melibatkan 17 ahli ekonomi daripada rantau Asia Pasifik,  iaitu Australia, Bangladesh, Negara Brunei Darussalam, Republik Rakyat China, Chinese Taipei, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macao, Malaysia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Thailand and Vietnam.

Penganjuran Anugerah APICTA 2024 amat bermakna kerana ia bertepatan dengan ulangtahun ke-20 Anugerah ICT Brunei (BICTA), yang menandakan pencapaian penting dalam perjalanan digital negara.  Kali terakhir Brunei menjadi tuan rumah Anugerah APICTA adalah pada tahun 2012, yang memperkenalkan pelbagai inisiatif yang kini menjadi tradisi berharga dalam acara APICTA.

Anugerah APICTA 2024 akan mempertandingkan sebanyak tiga puluh lima (35) kategori termasuk beberapa sub-kategori bagi Pengguna, Khidmat Kemasyarakatan dan Keikutsertaan, Perindustrian, Perkhidmatan Perniagaan, Sektor Awam dan Kerajaan, Penuntut Sekolah, Kategori Silang, dan Anugerah Teknologi. Di samping itu, Anugerah Pilihan Ramai yang turut dipertandingkan akan membolehkan orang ramai mengundi pemenang bagi Kategori Penuntut Senior dan Kategori Penuntut Pengajian Tinggi.  

Pelbagai acara menarik telah dirancang sepanjang berlangsungnya Anugerah APICTA 2024, termasuk sesi Business Networking dan Students Networking, yang menyediakan peluang pihak industri, ahli perniagaan, dan pelajar serta bakat muda berhubung, berkongsi idea, dan mencetuskan inovasi.  Selain itu, pameran Digital Brunei,  diadakan dan dibuka untuk kunjungan orang ramai dari 4 hingga 6 Disember 2024, bertempat di Atrium, The Mall, Gadong, akan menampilkan lebih dari 50 agensi mempamerkan pelbagai inovasi merentasi sektor-sektor yang berbeza. 

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyokong penganjuran Anugerah APICTA 2024 dan menjadi sebahagian daripada komuniti yang saling menyokong usaha dalam memacu kemajuan teknologi digital di Negara Brunei Darussalam. 

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan aktiviti-aktiviti terkini acara APICTA 2024, orang ramai bolehlah mengikuti Instagram apicta.awards atau melayari laman apicta2024.bn. 




[TAMAT]



Attachments