Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Isra’ dan Mi’raj bagi tahun 1446H/2025M. Majlis sambutan diadakan di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dikelolakan oleh Maritime and Port Authority of Brunei Darussalam (MPABD).
Hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri Bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi sebagai wakil peribadi Pemangku Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf Bin Haji Metussin.
Majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Imam Awang Haji Mohammad Aduka bin Haji Abdul, Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas.
Majlis seterusnya diserikan dengan ceramah khas sempena Isra’ dan Mi’raj bagi tahun 1446H/2025M yang bertajuk "Sembahyang Mencerdaskan Minda" disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Awang Haji Muhammad Naqib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Antara objektif majlis sambutan ini adalah untuk memperingati peristiwa bersejarah Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan majlis ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan tali silaturrahim di antara warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Ketua-Ketua Jabatan, Ketua Eksekutif serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan JabatanJabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.
Disediakan oleh: Maritime and Port Authority of Brunei Darussalam