Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Khamis, 13 Februari 2025 - Perjumpaan Muhibah Diantara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara Bagi Tahun 2025
Sesi Perjumpaan Muhibah diantara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya bersama dengan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 2025 telah diadakan pada pagi ini, bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC). 



Mengalu-alukan keberangkatan dan kehadiran Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ke Sesi Perjumpaan Muhibah tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan seramai 17 orang telah diketuai oleh Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong. 




Bagi memberkati majlis, Sesi Perjumpaan Muhibah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Mohd Zakaria bin Haji Salleh, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampong Pulaie. Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan diikuti dengan ucapan balas daripada Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong selaku Ketua Rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara. 

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dalam ucapan alu-aluannya antaralain mengongsikan status perlaksanaan pelan strategi serta projek-projek Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi yang berlandaskan kepada tiga (3) aspek utama iaitu (i) Keselamatan dan Sekuriti; (ii) Kecemerlangan Perkhidmatan; dan (iii) Pertumbuhan dan Perkembangan. Program-program serta projek-projek di bawah tiga (3) aspek utama ini adalah juga bertujuan untuk mendokong pencapaian dibawah Pelan Strategik MTIC 2025 yang juga disejajarkan dengan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035. 

​Selanjutnya, Sesi Perjumpaan Muhibah ini membuka peluang dan kesempatan untuk kedua-dua pihak untuk terus berdialog, berkongsi buah fikiran secara terbuka bagi merancang langkah-langkah kehadapan kearah mencapai cita kemajuaan Negara Brunei Darussalam. Cadangan-cadangan serta pandangan-pandangan Ahli Ahli Yang Berhormat juga akan dapat diambil kira dan membantu didalam merancang hala tuju Pelan Strategik Kementerian bagi tahun 2026 hingga 2030. Pada Sesi Perjumpaan Muhibbah ini juga, rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara telah berkesempatan melawat pameran mengenai status dan timeline bagi projek peningkatan Sistem Pengangkutan Awam, inisiatif-inisiatif di bawah Digital Government dan juga Ristaan Utama Kementerian di sepanjang tahun 2024. 



Turut hadir dalam sesi Perjumpaan Muhibah tersebut ialah Yang Mulia Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian, serta Pegawai-Pegawai Kanan dan Pegawai-Pegawai di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa Di Bawahnya. 


Disediakan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi 
Negara Brunei Darussalam
14 Syaaban 1446 / 13 Februari 2025 



Attachments