Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni AlMarhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abd Rahman dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bertempat di Kubah Makam Di-Raja, Jalan Tutong.
Hadir bagi mengetuai rombongan ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Turut hadir ialah Yang Mulia Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian, Pegawai-Pegawai Kanan serta Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan diikuti dengan bacaan tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Razak bin Samat, Imam Tingkat 1, Masjid Sufri Bolkiah, Perpindahan Berakas.
Majlis bertahlil di Kubah Makam Di-Raja ini merupakan aktiviti keugamaan tahunan yang dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadhan Al-Mubarak ini dan memperolehi ganjaran pahala berlipat ganda serta keberkatan dari Allah Subhanahu Wataála.
-TAMAT-
Disediakan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC)
Negara Brunei Darussalam