Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Sabtu, 22 Mac 2025 - Majlis Sembahyang Fardhu Zuhur Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena memperingati Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2025
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah memperingati Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2025 pada hari Sabtu, 22 Mac 2025 secara mengadakan Majlis Sembahyang Fardhu Zuhur Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas. 

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri SeDa Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. 

Turut hadir, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Ketua-Ketua Eksekutif, Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya. 

Majlis dimulakan dengan sembahyang fardhu Zuhur berjemaah dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Imam Haji Ashraf bin Haji Bujang, Imam Surau Lapangan Antarabangsa Berakas, Negara Brunei Darussalam. 

Hari Kajicuaca Sedunia, yang disambut setiap 23 Mac, merupakan acara tahunan yang mengiktiraf peranan penting kajicuaca dan sains iklim dalam memperkukuhkan daya tahan global. Sambutan pada tahun ini lebih bermakna dengan meraikan Ulang Tahun ke-75 Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (World Meteorological OrganizaDon, WMO), yang terus menjadi peneraju dalam usaha melindungi komuniti di seluruh dunia dariapda kesan perubahan iklim. 

Tema sambutan pada tahun ini, “Bersama Merapatkan Jurang Amaran Awal” atau “Closing the Early Warning Gap Together” memberikan peringatan penting bahawa sistem amaran awal bukanlah satu keistimewaan, tetapi ianya adalah satu keperluan. Kesan perubahan iklim yang semakin meningkat di mana kejadian-kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba yang lebih panas, kejadian banjir yang dahsyat, ribut yang kuat dan kenaikan paras laut yang semakin meluas terus mengancam kehidupan dan ekonomi di seluruh dunia. Sepanjang dekad yang lalu, kita juga telah menyaksikan suhu global mencatat rekod tertinggi serta bencana iklim yang semakin meningkat. 

Sehubungan dengan itu, inisiatif Amaran Awal untuk Semua (EW4All) yang diterajui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mensasarkan agar menjelang tahun 2027, setiap individu di seluruh dunia akan mendapat akses dan dilindungi oleh sistem amaran awal. 

Selaras dengan inisiatif global ini, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), melalui Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), terus memperkukuhkan keupayaan sistem amaran awal bagi menyediakan maklumat yang tepat dan pantas kepada orang ramai. Salah satu komponen utama dalam usaha ini ialah sistem amaran berwarna BDMD, yang membantu masyarakat memahami tahap kekuatan amaran cuaca dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya. Dikategorikan kepada Tiga tahap Kuning, Jingga, dan Merah, sistem ini memastikan orang ramai, agensi kerajaan, dan pihak berkepentingan menerima maklumat yang jelas dan boleh diambil tindakan sewajarnya semasa kejadian cuaca ekstrem. 

Dalam usaha berterusan untuk memperkukuhkan keupayaan ramalan cuaca di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) terus mengguna pakai teknologi kajicuaca yang canggih serta alat pemantauan iklim bagi memastikan ketepatan yang lebih tinggi dalam ramalan cuaca. Sebagai sebahagian daripada inisiatif Early Warnings for All (EW4All), Negara Brunei Darussalam tetap teguh dalam komitmennya untuk melabur dalam teknologi ramalan yang moden, program pembangunan keupayaan, dan kempen kesedaran awam bagi memastikan perkhidmatan amaran awal yang berkesan, efisien, dan mudah diakses demi keselamatan serta kesejahteraan penduduk di negara ini. 

Selaras dengan Wawasan Brunei 2035 serta Pelan Strategik MTIC, negara kita komited dalam usaha memperkukuhkan sistem amaran awal, meningkatkan akses orang ramai kepada data kajicuaca, serta memperluaskan kerjasama antarabangsa. Melalui kerjasama dengan WMO, Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), dan agensi-agensi kajicuaca global lain, Brunei Darussalam akan terus berusaha ke arah masa depan yang lebih selamat dan berdaya tahan. 

Pada masa yang sama, pendekatan whole-of-government dan whole-of nation approach amat penting bagi memastikan Inisiatif EW4All ini dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui kerjasama erat antara agensi-agensi yang berkaitan samada dalam meningkatkan keupayaan kajicuaca, pembangunan teknologi amaran awal dan penyebarannya serta kesiapsiagaan negara dalam menghadapi dan tindakan pengurusan bencana. 

Disediakan oleh: 
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam 
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi 
Negara Brunei Darussalam
 21 Ramadhan 1446/22 Mac 2025



Attachments