Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Selasa, 25 Mac 2025 - MTIC Raikan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Bagi Tahun 1446H/2025M

​Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Nuzul AlQur’an dan Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim bagi tahun 1446H/2025M pada hari ini bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Acara tahun ini telah dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI). 


Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Turut hadir di majlis tersebut Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap; Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi); Yang Mulia Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan); Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, pegawaipegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai oleh Yang Mulia Haji Syamsul Nizam bin Haji Badar, Pegawai Hal Ehwal Masjid dari Masjid Mohamad Bolkiah, Kampong Serusop dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Baqarah Ayat 267 hingga Ayat 271 oleh Qariah Negara, Yang Mulia Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, Pegawai Pelajaran dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha. 



Bagi menyemarakkan lagi majlis tersebut, ceramah khas bertajuk “Jangan Renggangkan Hidup dengan Al-Quran” telah disampaikan oleh penceramah undangan Yang Mulia Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah. 



Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Seramai 30 orang anakanak yatim yang terdiri daripada ahli keluarga warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya telah menerima sumbangan tersebut. 

Majlis ini merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi memperingati peristiwa agung Nuzul Al-Quran di samping mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan pegawai-pegawai Kementerian serta memupuk sifat keprihatinan kepada golongan anak-anak yatim yang terdiri daripada kalangan warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya. 



(TAMAT)



Attachments