Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan bagi Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi, bertempat di Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kg Tungku Katok pada hari ini. Majlis berkenaan telah dikelolakan oleh Pusat Kebangsaan E-Kerajaan.
Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Turut hadir di majlis ini ialah Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, Pengarah-Pengarah Bahagian, Pegawai-Pegawai Kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Zohor berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Imam Awang Murni bin Haji Nayan, Imam Masjid Pengiran Muda Abdul Malik. Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, diikuti dengan bacaan Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Nas secara beramai-ramai.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Takhtim, Tahlil dan Doa Khatam yang dipimpin oleh Imam masjid berkenaan, disusuli dengan Dikir Marhaban yang diketuai oleh kumpulan dikir Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC). Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati dan sumbangan wakaf berupa barangan keperluan masjid, yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi kepada Imam Masjid Pengiran Muda Abdul Malik selaku wakil pihak masjid.
Majlis ini merupakan acara keagamaan tahunan Kementerian yang diadakan sempena bulan Ramadan bagi menyemarakkan lagi keberkatan bulan suci ini. Ia juga bertujuan untuk menggalakkan pembacaan Al-Qur’an dan mempererat ukhuwah dalam kalangan warga kerja Kementerian, di samping merebut peluang untuk meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata‘ala.
TAMAT
Disediakan oleh:
Pusat Kebangsaan E-Kerajaan
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam
E-mel: corpcomms@egnc.gov.bn Tel: 2424955
Laman sesawang: www.egnc.gov.bn