Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Khamis, 24 April 2025 - Majlis Membaca Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan Solat Fardhu Asar Berjemaah kelolaan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR)
Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah mengadakan Majlis Membaca Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan Menunaikan Solat Fardu Asar berjemaah pada petang ini bertempat di Masjid Mohammad Bolkiah, Kampong Serusop.

Hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokommunikasi (MTIC), Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) selaku Setiausaha MKKJR, Ahli-Ahli MKKJR, serta Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokommunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya. Turut hadir ialah pegawai-pegawai Kanan dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta guru-guru dan murid-murid Sekolah Ugama P.A.P Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampong Serusop, Brunei II A. 



Majlis dimulakan dengan bacaan Ratib Al-Attas, diikuti dengan Solat Sunat Hajat dan diteruskan dengan Solat Fardu Asar berjemaah, yang diimamkan oleh Yang Mulia Awang Mohamad Omar Afiq Hasyir bin Awang Haji Ismail, Imam Masjid Mohammad Bolkiah, Kampong Serusop. 



Majlis ini merupakan salah satu inisiatif berterusan pihak MKKJR dalam memohon perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala agar seluruh pengguna jalan raya dilindungi daripada sebarang kemalangan serta agar Negara Brunei Darussalam akan sentiasa berada dalam keadaan aman, selamat dan diberkati.

Di kesempatan ini, pihak MKKJR menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu tidak melebihi had laju yang ditetapkan, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan lebih berhati-hati semasa keadaan cuaca hujan. Keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama, ia bergantung kepada kewaspadaan dan sikap berhemah setiap individu.  Pihak MKKJR juga menyarankan agar amalan membaca doa sebelum memulakan perjalanan sentiasa diamalkan sebagai satu bentuk ikhtiar dan tawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala, demi keselamatan diri dan orang lain.



Disediakan oleh: 
Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) & Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, 
Negara Brunei Darussalam





Attachments