Bersempena dengan memperingati Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WTISD) 2025, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran hari ini di Masjid An-Na’im, Kg Panchor Mengkubau.
Hadir pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi AITI.
Turut hadir ialah Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC); Yang Mulia Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), MTIC; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC; dan Yang Mulia Awang Haji Jailani bin Haji Buntar, Ketua Eksekutif AITI. Tetamu undangan lain termasuk Ahli-ahli Pihak Berkuasa AITI; pegawaipegawai kanan dari MTIC dan AITI, serta wakil-wakil dari InfoCom Federation Brunei (IFB), penyediapenyedia perkhidmatan telekomunikasi, dan industri ICT.
Majlis dimulakan dengan solat Sunat Hajat dan fardhu Asar berjemaah, yang diketuai oleh Yang Mulia Imam Pg Hj Md Hafizuddin bin Pg Hj Bakar, diikuti dengan bacaan Surah Yaasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran.
WTISD disambut setiap tahun pada 17 Mei, untuk menandakan penubuhan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada tahun 1865 ketika Konvensyen Telegraf Antarabangsa pertama ditandatangani di Paris, Perancis. Tujuan WTISD diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kuasa Internet dan teknologi lain dalam memperbaiki kehidupan serta merapatkan jurang digital.
Tahun ini adalah tahun ke-56 WTISD diraikan sejak tahun 1969. Tema bagi tahun ini adalah "Kesaksamaan Jantina dalam Transformasi Digital (Gender Equality in Digital Transformation)", yang menekankan keperluan untuk memperkasa kesaksamaan jantina dalam bidang digital, agar wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia turut berpeluang meraih manfaat serta menyumbang kepada transformasi digital.
(TAMAT)
AITI adalah badan berkanun yang bertanggungjawab untuk melaksanakan fungsi pengawalseliaan untuk sistem dan perkhidmatan telekomunikasi dan pos; mengurus spektrum frekuensi radio nasional dengan berkesan; melindungi kepentingan pengguna dengan mempromosikan harga yang kompetitif dan memastikan kualiti perkhidmatan; serta mengembangkan Industri ICT untuk Negara Brunei Darussalam. Ia ditubuhkan pada 1 Januari 2003 melalui Perintah AITI, 2001.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Pg Muhammad Hazimul Wa’ie bin Pg Hj Harun
Penolong Pengurus, Unit Perhubungan Korporat
Email: hazimul.harun@aiti.gov.bn
Tel: +673 713 7877
Laman Sesawang: www.aiti.gov.bn
Facebook / Instagram: aiti.brunei