Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Khamis, 24 November 2022 - Majlis Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia Bagi Tahun 2022



Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddin Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam (MKKJR) telah berkenan berangkat ke Majlis Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia Bagi Tahun 2022 bertempat di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club,  Jerudong.

Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia ini merupakan inisiatif antarabangsa yang disambut pada setiap hari Ahad di minggu ketiga bulan November setiap tahun. Inisiatif ini bertujuan untuk memperingati mangsa-mangsa lalu lintas jalan raya serta keluarga mereka yang turut terkesan akibat kemalangan jalan raya.  

Sambutan Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia diadakan pada tahun ini dengan bertemakan “Justice”. Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam mengetengahkan tema Justice ini kepada aspek kepatuhan kepada undang-undang atau peraturan serta menghormati hak setiap individu untuk menikmati jalan raya yang selamat sebagai kemudahan awam, yakni kesaksamaan yang juga selaras dengan prinsip Maqasid Syariah. 

Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dijunjung oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi MKKJR, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos,  Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Timbalan Pengerusi MKKJR, Yang Mulia Dato' Paduka Seri Haji Muhammad Irwan Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei selaku Ahli MKKJR, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Ahli MKKJR, dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Setiausaha MKKJR. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir diikuti dengan Sembah Alu-aluan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi MKKJR yang antara lain menyembahkan mengenai  inisiatif-inisiatif dan status-status program-program yang sedang dan telah dilaksanakan.  Dalam menyedari akan perlunya untuk memberikan keutamaan kepada peningkatan keselamatan jalan raya, YB Menteri MTIC menyeru kepada orang ramai untuk menjadikan keselamatan jalan raya tanggugjawab bersama dan juga mengingatkan bahawa faktor asas yang menentukan keterukan atau kesan buruk kemalangan adalah kelajuan. Oleh yang demikian pastikan setiap kenderaan dipandu mengikut had kelajuan yang telah ditetapkan khusus mengikut keadaan jalan raya.

Semasa Majlis tersebut, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna telah berkenaan mengurniakan Sabda Khas dimana Yang Teramat Mulia antaranya telah menyentuh mengenai pentingnya untuk MKKJR memastikan peta jalan dan inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2025 yang telah dilancarkan pada tahun 2020 masih relevan dan menepati keadaan semasa. Yang Teramat Mulia juga menyeru agar MKKJR mengambil inisiatif bagi menerokai lebih lanjut lagi kaedah-kaedah penggunaan teknologi bagi keselamatan jalan raya serta bekerjasama rapat dengan pihak-pihak yang berkepentingan dan relevan di bawah MKKJR.  

Yang Teramat Mulia di dalam Sabda telah berkenan melancarkan Buku Edisi Kedua “The Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam” dan buku Bacaan-Bacaan Bersiri Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam:  Adab Dan Keselamatan Kitani Di Jalan Raya.

Buku Edisi Kedua “The Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam” diterbitkan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) sebagai salah satu inisiatif di bawah Kumpulan Tindakan Undang-Undang dan Penguatkuasaan (KTUP) yang dilaksanakan di bawah “The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025.”. Ianya bertujuan sebagai rujukan yang merangkumi sebahagian besar aspek pemanduan di Negara Brunei Darussalam dan adalah mudah diakses dan mesra pengguna untuk semua pengguna jalan raya.

Sementara itu, buku Bacaan-Bacaan Bersiri Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam:  Adab Dan Keselamatan Kitani Di Jalan Raya diterbitkan oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan sebagai salah satu insiatif di bawah Kumpulan Tindakan Penyelidikan dan Perkembangan (KTPP) dan juga dilaksanakan di bawah “The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025” Buku bacaan ini akan diedarkan ke sekolah-sekolah rendah seluruh negara dan disimpan di perpustakaan di Sudut Buku Bacaan Inspirasiku iaitu salah satu sudut  dimana para murid dimestikan untuk membaca buku-buku yang tersenarai. 

Yang Teramat Mulia juga berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah-hadiah kepada penuntut-penuntut yang menyertai Pertandingan Kuiz Keselamatan Jalan Raya Bagi Peringkat Sekolah Menengah Dan Maktab-Maktab Senegara Tahun 2022 dimana sebanyak 161 pelajar telah menyertai kuiz berkenaan dimana Johan adalah Dayang Nur Alyaa Hafeezah binti Rizal dari Ma’had Islam Brunei  dan Pertandingan Mencipta Klip Video Keselamatan Jalan Raya Bagi Peringkat Sekolah Menengah, Maktab-Maktab Dan Pusat Tingkatan Enam Tahun 2022 dimana sebanyak 17 klip video diterima  dan telah dimenangi oleh Dayang Fatin Noor Hasibah binti Noor Aflan dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Mhtadee Billah. Kedua-dua projek berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan juga sebagai inisiatif di bawah  KTTP yang dilaksanakan di bawah “The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025.

Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan menyaksikan pameran keselamatan jalan raya oleh MKKJR, Brunei Bridge Authority (BBA), Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Syarikat Pemasaran Minyak Brunei Shell (BSM).

Sebelum berangkat meninggalkan Majlis, Yang Teramat Mulia telah berkenaan menandatangani Lembaran Keberangkatan sempena Majlis Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia bagi Tahun 2022.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Perwakilan Luar Negera ke Negara ini, Ahli-Ahli MKKJR, Pegawai-Pegawai Kanan dan Kakitangan Kementerian-Kementerian, Jabatan-Jabatan dan Pihak-Pihak Berkuasa yang berkenaan, syarikat-syarikat swasta serta persatuan-persatuan yang berkaitan, sekolah-sekolah memandu dan institusi-institusi pendidikan.

Dalam kesempatan ini, MKKJR Negara Brunei Darussalam menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya, dan sentiasa mengamalkan sikap memandu yang berhemah. Pemandu berhemah sentiasa mementingkan keselamatan, baik sebelum memandu ataupun semasa memandu. Semasa berada di jalan raya, seseorang pemandu hendaklah sentiasa mengamalkan sikap yang baik bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.




Disediakan oleh:
Urusetia Majlis Kebangsaaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR)



Attachments