Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Rabu, 15 Februari 2023 - Perjumpaan Muhibah Antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara Bersama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi Tahun 2023

Perjumpaan Muhibah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah diadakan pada pagi ini, Hari Rabu, 24 Rejab 1444 bersamaan 15 Februari 2023 bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC).

Mengalu-alukan kehadiran Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara ke Perjumpaan Muhibah tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Rombongan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan seramai 18 orang diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.

Bagi memberkati majlis pada pagi ini, sesi Perjumpaan Muhibah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Haji Mohamad Ashraf Bin Haji Bujang, Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan diikuti dengan ucapan balas daripada Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara diberikan taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Mulia Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof. Rombongan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara juga berkesempatan melawat pameran mengenai visi, misi, pencapaian serta perancangan Jabatan dan Pihak Berkuasa masing-masing. Di ruang legar lain, Ahli-ahli Yang Berhormat telah diberikan taklimat berkaitan dengan aplikasi rintis Sistem Maklumat Bas Penumpang yang memberikan maklumat kepada pengguna mengenai pergerakan dan kedudukan bas awam secara real-time.

Perjumpaan Muhibah ini merupakan forum perbincangan tahunan yang mana sesi kali ini bertujuan untuk bertukar-tukar buah fikiran secara terbuka mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi terutama sekali pasca endemik COVID-19 dan kepesatan teknologi digital yang sedia ada. Sesi berkenaan juga berpeluang untuk meneliti pelbagai isu dan cabaran yang berkaitan dengan sektor-sektor pengangkutan dan infokomunikasi, meninjau pencapaian-pencapaian Kementerian serta perancangan strategik yang telah, sedang dan yang akan dilaksanakan.

Di samping itu, Perjumpaan Muhibah ini juga salah satu wadah bagi pihak Kementerian ini untuk saling mengenali dan mengeratkan hubungan silaturahim bersama Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara selain meningkatkan kerjasama bagi merealisasikan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.

Turut hadir dalam sesi Perjumpaan Muhibah tersebut ialah Yang Mulia Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa, Pesuruhjaya Interim bagi Cyber Security Brunei (CSB) serta Pegawai-Pegawai Kanan dan Pegawai-Pegawai Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

 


❖❖❖❖❖

 


24 Rejab 1444H / 15 Februari 2023
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam


Attachments