Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Isnin, 20 Februari 2023 - Majlis Sambutan Isra’ dan Mi’raj Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan serta Pihak-Pihak Berkuasa di Bawahnya bagi Tahun 1444/2023

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan serta Pihak- Pihak Berkuasa Di Bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Isra’ dan Mi’raj bagi tahun 1444/2023. Majlis sambutan diadakan bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dikelolakan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam.

Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunkasi.

Majlis dimulakan dengan bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran iaitu Surah Hud, Ayat 111 hingga 115 oleh Yang Mulia Pengiran Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki, Pegawai Pelajaran, Sekolah Menengah Arab Laki- Laki Hassanal Bolkiah.

Majlis kemudiannya diisikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Menghayati Hikmah Isra’ dan Mi’raj’ yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Dr. Nazirul Mubin bin Ahad, Pensyarah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Antara kisah yang telah disentuh semasa ceramah khas pada majlis petang berkenaan adalah peristiwa Isra’ dan Mi’raj sebagai satu pujukan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk kekal teguh berdakwah meskipun selepas dihimpit dengan beberapa kejadian yang menimpa Baginda, termasuk wafatnya isteri yang tercinta iaitu Sayyidatina Khadijah Radiallahu ‘Anha dan juga bapa saudara Baginda iaitu Abu Talib. Dengan berlakunya peristiwa ini, Baginda telah merasa tenang dengan perjumpaan Baginda bersama Malaikat Jibril ‘Alaihi Salam dan para Anbiya dan juga mendapat perintah menunaikan solat secara langsung dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Selain dari menyemarakkan peristiwa bersejarah Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, majlis tersebut juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Ketua-Ketua Eksekutif, Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.



Disediakan oleh:

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Negara Brunei Darussalam


29 Rejab 1444/20 Februari 2023

 Ruj: PREO/PR/01/2023



Attachments