Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Rabu, 22 Februari 2023 - Siaran Statistik impak dari pembukaan semula pintu sempadan Negara Brunei Darussalam bagi perjalanan bukan mustahak (“non-essential travel”) melalui pos kawalan udara dan laut

• Siaran statistik kali ini meninjau impak dari pembukaan semula pintu sempadan Negara Brunei Darussalam sejak 1 Ogos 2022 bagi perjalanan bukan mustahak (“non-essential travel”) khususnya melalui pos kawalan udara dan laut. Dengan itu, penilaian dibuat dari segi jumlah pergerakan penumpang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) dan juga Feri Terminal Serasa selepas dua tahun sekatan ketat dilaksanakan berikutan penularan wabak pandemik COVID-19 sejak bulan Mac 2020 di negara ini.

• Antaralain yang turut diteliti adalah keberkesananan mengenai pengemaskinian dasar pembaharuan lesen memandu bagi warga emas berumur 70 tahun dan keatas sejak diperkenalkan pada 16 Disember 2021. Bagi keselamatan jalan raya yang mana jumlah kes kemalangan jalan raya di negara ini masih memerlukan perhatian dan kerjasama sepadu dari semua pihak yang terlibat termasuk pengguna-pengguna jalan raya. Ini adalah bagi terus meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya dan sentiasa mengamalkan sikap memandu yang berhemah.

• Selain dari sektor pengangkutan, perkhidmatan pengendalian barang-barang melalui Pusat Memproses Mel (MPC) di bawah Jabatan Perkhidmatan Pos turut diberi perhatian iaitu benda berdaftar, paket kecil dan bungkusan (domestik dan antarabangsa).

• Perangkaan-perangkaan yang dimaksudkan di atas adalah seperti berikut.:

(i) Pergerakan Penumpang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei;

(ii) Pergerakan Penumpang melalui Feri Terminal Serasa

(iii) Membaharui Lesen Memandu bagi Warga Emas Berumur 70 dan ke atas;

(iv) Jumlah Keselamatan Jalan Raya; dan

(v) Jumlah Pengendalian Benda Berdaftar, Paket Kecil dan Bungkusan (Domestik & Antarabangsa)


SEKTOR PENGANGKUTAN


Pergerakan Penumpang Melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei


• Tahun 2022 adalah tahun terpenting bagi langkah kehadapan selepas negara ini dilanda wabak COVID-19 dengan diikuti pelonggaran prosedur operasi standard. Berdasarkan maklumat yang diperolehi bagi pergerakan penumpang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang merangkumi keluar, masuk dan persinggahan, semenjak pembukaan sempadan pada 1 Ogos 2022, tren bagi pergerakan penumpang menunjukkan peningkatan sebanyak 55% sehingga 31 Disember 2022.

• Jika dibandingkan lima tahun sebelum pandemik COVID-19, pergerakan penumpang meningkat setiap tahun dan tahun 2019 mencatatkan yang tertinggi dalam jumlah 2,186,825. Secara purata, kadar pertumbuhan pergerakan penumpang di negara ini adalah sebanyak 5.5% setiap tahun (2015 – 2019). Jika berdasarkan kadar berganda sebanyak 5.5% setiap tahun, jumlah pergerakan penumpang dijangka akan kembali ke tahap 2019 pada tahun 2026.


Pergerakan Penumpang (Keluar dan Masuk) Melalui Feri Terminal Serasa


• Perangkaan menunjukkan peningkatan sejak pembukaan sempadan pada bulan Ogos 2022 dengan seramai 1,146 penumpang keluar dan 950 penumpang masuk melalui Feri Terminal Serasa. Bagi bulan berikutnya, jumlah pergerakan penumpang keluar dan masuk melalui Terminal tersebut terus meningkat sebanyak 56% dengan mencatatkan sejumlah 3,263 penumpang. Bulan Disember 2022 mencatatkan jumlah yang tertinggi bertepatan dengan musim cuti persekolahan dengan seramai 6,903 penumpang keluar dan masuk negara ini.

• Sebelum tercetusnya pandemik COVID-19, tahun 2016 mencatatkan pergerakan penumpang yang tertinggi dengan jumlah 182,753. Perangkaan bagi tahun-tahun berikutnya (2015 – 2019) adalah menurun dan secara purata pergerakan penumpang bagi tempoh tersebut berjumlah 171,566. Jika jumlah keseluruhan pergerakan penumpang bagi tahun 2022 (iaitu seramai 23,166) berganda setiap tahun, maka dijangka dalam tahun 2025 akan mencapai semula tahap tertinggi seperti di tahun 2016.


Membaharui Lesen Memandu bagi Warga Emas Berumur 70 hingga 85 tahun


• Perlaksanaan dasar terkini mengenai pembaharuan Lesen Memandu bagi warga emas yang berumur 70 dan ke atas telah bermula pada 16 Disember 2022 yang memberikan warga emas pilihan untuk memperbaharui lesen memandu mereka bagi tempoh 1 tahun, 3 tahun atau 5 tahun dengan melengkapkan Borang Pengakuan Kesihatan Diri yang disediakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat.

• Manakala, pemohon yang berumur 86 tahun dan ke atas hendaklah menyertakan Sijil Kesihatan yang disahkan oleh Pengamal Perubatan yang berdaftar dan diiktiraf dan hanya boleh memperbaharui Lesen Memandu Kelas 3 bagi tempoh 1 tahun sahaja.

• Setelah pengenalan dasar tersebut, terdapat pengurangan bagi pemohonan tempoh 1 tahun. Di sepanjang tahun 2021, sebanyak 6,676 pemohon telah dicatatkan manakala bagi tahun 2022 hanya mencatatkan sebanyak 1,955 pemohon sahaja iaitu pengurangan sebanyak 71%.

• Pembaharuan lesen memandu bagi tempoh tiga (3) tahun telah mendapat penerimaan yang menggalakkan dengan seramai 2,868 pemohon dan bagi tempoh lima (5) tahun juga menerima sambutan dengan sebanyak 2,390 pemohon sehingga Disember 2022.


Keselamatan Jalan Raya


• Bagi tahun 2020, kadar kemalangan jalan raya menunjukkan 1,079 kes dan menurun pada tahun 2021 kepada 1,043 kes. Terdapat sedikit kenaikan pada tahun 2022 dengan tambahan 7 kes kemalangan. Senario yang berbeza bagi kes kemalangan yang melibatkan kematian di mana ianya menunjukkan jumlah kenaikan setiap tahun.

• Salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) dalam Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya bagi Brunei Darussalam 2025 adalah penurunan kadar kemalangan sebanyak 50%. Jika dilihat dari perangkaan kes kematian, disebaliknya jumlah kes tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 82% dari tahun 2020.

• Oleh itu, kerjasama dan komitmen daripada sektor kerajaan dan swasta adalah penting dalam menyumbang kearah matlamat untuk menjadikan jalan raya di Negara Brunei Darussalam selamat bagi para pengguna. Orang ramai juga adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada, cermat, bertimbang rasa dan berhemah di samping mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan jalan raya.


Jumlah Pengendalian Benda Berdaftar, Paket Kecil dan Bungkusan (Domestik & Antarabangsa)


• Antara barang-barang yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos melalui Pusat Memproses Mel (MPC) adalah benda berdaftar, paket kecil dan bungkusan (domestik dan antarabangsa). Bagi suku pertama tahun 2022, jumlah penerimaan secara menyeluruh bagi barang-barang tersebut adalah sebanyak 84,869 iaitu jumlah yang tertinggi jika dibandingkan dengan suku tahun kedua dan seterusnya.

• Pada suku kedua dan ketiga, paket kecil yang mencatatkan peningkatan dalam jumlah penerimaan berbanding barang-barang yang lain, iaitu berjumlah 13,168 dan 21,039. Manakala, jumlah penerimaan bagi bungkusan terjejas pada suku keempat dengan penuruan sebanyak 90%.

• Di sepanjang tahun 2022, jumlah keseluruhan bagi penerimaan benda berdaftar, paket kecil dan bungkusan adalah menurun setiap suku tahun. Selepas pembukaan sempadan pada 1 Ogos 2022, jumlah penerimaan bagi barang-barang tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 46% sehingga penghujung tahun 2022.




29 Rejab 1444 / 22 Februari 2023

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Negara Brunei Darussalam



Attachments