Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Khamis, 06 April 2023 - Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2023, Cabaran Untuk Berinovasi Kini Dibuka​
Anugerah ICT Brunei (Brunei ICT Awards - BICTA) 2023 telah dilancarkan secara rasmi hari ini di Amphiteatre, Bangunan Knowledge Hub (kHUB), Anggerek Desa. Hadir selaku tetamu kehormat untuk merasmikan majlis pelancaran ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama. 

BICTA yang mula diperkenalkan pada tahun 2004 merupakan acara pertandingan ICT tahunan yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (BICTA). BICTA juga turut disokong Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, dan Darussalam Enterprise (DARe).



Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2023; Yang Mulia Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, Pengerusi IFB selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2023; Yang Mulia Awang Ir Haji Jailani bin Haji Buntar, Ketua Eksekutif, AITI, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan, Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu BICTA, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta perwakilan dari institusi pendidikan dan syarikat-syarikat ICT tempatan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Imam Mohammad Raffi bin Duming, Imam Tingkat I, Jabatan Hal Ehwal Masjid. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2023. Sejurus selepas acara pelancaran, tetamu kehormat seterusnya dijunjung untuk menyaksikan pameran mini produk-produk ICT yang pernah menyertai BICTA pada tahun-tahun yang lalu.

Pada tahun ini, BICTA terus membawa tema “Negara Pintar Melalui Tranformasi Digital” yang menekankan kepentingan inovasi dan perkembangan teknologi baharu untuk mendokong usaha ke arah transformasi digital bagi memacu pembangunan ekonomi dan masyarakat di Negara ini. 

Bagi menggalakkan lebih banyak lagi penyertaan serta membuka peluang untuk penciptaan kreativiti dan menjana inovasi dalam ICT, beberapa pembaharuan kepada kategori-kategori pertandingan BICTA 2023 telah diperkenalkan.  BICTA pada tahun ini mempertandingkan sebanyak sepuluh (10) kategori bagi penyertaan daripada individu, pelajar-pelajar, syarikat-syarikat perniagaan, agensi-agensi kerajaan dan organisasi-organisasi yang berminat.  Kategori-kategori berkenaan beserta hadiah bagi setiap pemenang adalah seperti berikut:

KategoriHadiah​

Kategori Utama (Main Categories)PemenangMerit
1.      Perkhidmatan Pengguna dan PerniagaanB$5,000.00B$2,500.00
2.      Khidmat Kemasyarakatan dan KeikutsertaanB$5,000.00B$2,500.00
3.      PerindustrianB$5,000.00B$2,500.00
4.      Awam dan KerajaanTrofi dan Sijil​

Kategori Sekolah (School Categories):Pemenang​Merit​
5.      Sekolah Rendah

Bagi penyertaan individu atau kumpulan penuntut Tahun 4 ke Tahun 6
B$1,000.00B$500.00B$500.00
6.      Sekolah Menengah

Bagi penyertaan individu atau kumpulan penuntut Tahun 7 ke Tahun 11
B$1,500.00B$800.00B$800.00
7.      Institusi Pengajian Tinggi

Bagi penyertaan individua atau kumpulan penuntut Tahun 12 hingga peringkat mahasiswa
B$2,000.00B$1,000.00B$1,000.00
Kategori Silang (Cross Categories)Pemenang​Merit​
8.      Pemula (Start up) B$5,000.00B$2,500.00
9.      Penyelidikan dan PerkembanganB$5,000.00B$1,500.00
10.  TeknologiB$5,000.00B$1,500.00

Tertakluk kepada kelayakan, mana-mana penyertaan dalam Kategori Utama (kecuali Kategori Sekolah) dibolehkan juga untuk menyertai salah satu daripada Kategori Silang yang bersesuaian dengan produk yang dipertandingkan.

Selain itu, BICTA 2023 juga turut mengetengahkan lima (5) Anugerah Smart Nation.  Anugerah ini khusus bagi penyertaan yang tidak memenangi mana-mana kategori pertandingan, tetapi telah memenuhi ciri-ciri aspirasi “Negara Pintar Melalui Transformasi Digital” bagi meningkatkan kualiti hidup, perkhidmatan awam, pendidikan, keselamatan, mobiliti orang ramai dan untuk mencapai kelestarian alam sekitar dalam lima (5) sektor tertentu, iaitu Pelancongan, Pertanian, Pembinaan, Logistik & Pengangkutan dan Pendidikan.

Turut diserapkan di dalam aktiviti BICTA 2023 adalah BICTA Plus Bootcamp, iaitu program bimbingan dan latihan khusus bagi peserta-peserta BICTA untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka sebagai persiapan diri sebelum pertandingan. Antara topik-topik yang diketengahkan merangkumi ideation and validation, perancangan perniagaan dan kewangan, strategi pemasaran, kemahiran pitching dan pembentangan serta design and thinking. 

BICTA merupakan komponen di bawah Asia-Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards di mana kualiti dan kategori yang dibukakan adalah selaras dengan piawaian APICTA.  Penyertaan Negara Brunei Darussalam di dalam APICTA setakat ini telah meraih empat (4) kemenangan dan dua puluh sembilan (29) anugerah merit.  Pemenang-pemenang BICTA 2023 akan mewakili Negara Brunei Darussalam ke APICTA 2023 yang akan diadakan Hong Kong insya Allah pada penghujung tahun ini. 

Semua sekolah rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi, individu, pengusaha-pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS), agensi kerajaan dan badan-badan organisasi yang mempunyai produk-produk ICT adalah dialu-alukan untuk menyertai BICTA 2023.  Maklumat lanjut mengenai BICTA dan borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang BICTA di www.bicta.gov.bn.  Tarikh akhir bagi penghantaran penyertaan adalah pada 31hb Ogos 2023. 

Bagi maklumat lanjut, pihak-pihak yang berminat boleh menghubungi Urusetia BICTA melalui email di bicta@aiti.gov.bn atau menghubungi talian 2323232.







Attachments