Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Rabu, 24hb Mei 2023 - Negara Brunei Darussalam dan Malaysia Meterai Perjanjian Perkhidmatan-Perkhidmatan Udara

1.    Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Perkhidmatan-perkhidmatan Udara di Langkawi, Malaysia pada hari Rabu, 24hb Mei 2023.

2.    Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, manakala bagi pihak Kerjaaan Malaysia ialah Yang Berbahagia Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia.

3.    Perjanjian yang diperbaharui tersebut, mengemaskinikan Perjanjian Perkhidmatan-perkhidmatan Udara yang telah dimeterai pada 14 Februari 1992 dimana hak-hak pengangkutan antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia telah ditambah baik.  Pemodenan Perjanjian Perkhidmatan-perkhidmatan Udara berkenaan adalah bertujuan bagi memastikan perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan udara komersil kedua-dua buah negara dapat dilaksanakan dengan liberal dan selaras dengan piawaian serta garispandu terkini yang disediakan oleh International Civil Aviation Organisation (ICAO) termasuk jua peraturan-peraturan dan perundangan yang ada dikedua-dua buah negara.  Ianya juga dapat mempertingkatkan kesalinghubungan udara serta membuka peluang-peluang kerjasama antara syarikat-syarikat penerbangan yang ditetapkan dan destinasi antara kedua-dua buah negara.

4.   Turut hadir menyaksikan penandatangan Perjanjian berkenaan adalah Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin @ Haji Mohd Saidin, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia.
5.    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga telah menghadiri the Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2023 (LIMA '23) yang berlangsung di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), Langkawi, Malaysia dari 23hb hingga 27hb Mei 2023.

6.    LIMA '23 merupakan pameran yang diadakan bagi kali ke-16, dikendalikan bersama oleh Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan Malaysia yang dianjurkan setiap dua tahun.  Pameran tersebut yang juga diselajurkan dengan persidangan-persidangan pengangkutan udara dan maritim, telah disertai oleh delegasi-delegasi dari pentadbir-pentadbir, pengawalselia-pengawalselia dan pihak-pihak komersial antarabangsa yang mempamerkan pelbagai produk komersial maritim dan aeroangkasa serta produk-produk teknologi terkini. 
7.    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga telah mengadakan perjumpaan-perjumpaan muhibbah dengan Menteri Pengangkutan Malaysia dan Menteri Pengangkutan dan Penerbangan Awam, Somalia secara berasingan.  Perjumpaan-perjumpaan Muhibbah berkenan adalah bagi meningkatkan lagi kerjasama diantara kedua-dua negara dan bagi bertukar-tukar buah fikiran dalam menangani isu dan cabaran yang serupa bagi kedua-dua buah negara.

8.    Bersama dalam delegasi Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi ke LIMA '23 adalah Yang Mulia Ir. Mohammad Nazri Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian tersebut.

 


Disediakan oleh:-

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Negara Brunei Darussalam

Attachments