Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Isnin, 25 September 2023 - Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA 2023)
Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2023 telah berlangsung petang ini di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. 

Turut hadir ialah Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2023; dan Yang Mulia Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, Pengerusi InfoCom Brunei (IFB) selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2023. 

Turut hadir termasuk Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ahli-Ahli Pihak Berkuasa AITI, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan institusi-institusi pengajian tinggi, serta wakil-wakil dari industri ICT. 

Bertemakan "Negara Pintar Melalui Transformasi Digital", pertandingan BICTA 2023 telah dibuka pada 6 April 2023 dengan kategori baharu bagi penyertaan individu, pelajar-pelajar, syarikat-syarikat perniagaan, agensi-agensi kerajaan dan organisasi-organisasi yang berminat. Terdapat sepuluh (10) kategori dipertandingkan yang terdiri daripada: 
1. Tujuh (7) Kategori Utama, iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Pengajian Tinggi, Perkhidmatan Pengguna dan Perniagaan, Khidmat Kemasyarakatan dan Keikutsertaan, Perindustrian, dan Awam dan Kerajaan; dan 
2. Tiga (3) Kategori Silang, iaitu Pemula (Start-Up), Penyelidikan dan Perkembangan, dan Teknologi. 

BICTA 2023 juga turut mengetengahkan Anugerah Smart Nation. Anugerah ini khusus bagi penyertaan yang tidak memenangi mana-mana kategori pertandingan, tetapi telah memenuhi ciri-ciri aspirasi “Negara Pintar Melalui Transformasi Digital” dalam lima (5) sektor tertentu, iaitu Pelancongan, Pertanian, Pembinaan, Logistik & Pengangkutan dan Pendidikan. 

Majlis Anugerah BICTA 2023 dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Saufi bin Haji Suhaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid. 

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2023. Dalam ucapan tersebut, Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof mengongsikan pencapaian terkini, inisiatif serta kategori baharu yang diperkenalkan untuk memastikan lebih banyak penyertaan daripada peserta BICTA bagi menghasilkan lagi produk-produk dan penyelesaian yang berinovatif. Pertandingan BICTA tahun ini telah mencatatkan penyertaan tertinggi setakat ini dengan jumlah sebanyak 92 penyertaan. Perkembangan yang menggalakkan ini menggambarkan pendekatan whole of nation, dengan peranan dan sokongan daripada semua pihak berkepentingan untuk memanfaatkan potensi transformasi digital. Selaras dengan kategori baharu yang diperkenalkan, bilangan hakim yang dilantik untuk BICTA 2023 juga telah meningkat dengan gabungan latar belakang dan kepakaran yang pelbagai daripada sektor kerajaan, swasta, pakar industri dan ahli akademik. 

Acara majlis kemudiannya diteruskan dengan pembentangan Laporan Hakim BICTA oleh Yang Mulia Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, selaku Ketua Hakim BICTA 2023. Laporan hakim antara lain menyentuh mengenai penyertaan pada tahun ini yang amat memberangsangkan dengan mengambil kira kategori BICTA baharu yang diperkenalkan. Sistem penghakiman adalah berdasarkan kepada piawaian yang diguna pakai dalam pertandingan anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) dengan kriteria penilaian antara lain termasuk Keunikan, Bukti Konsep, Potensi Pasaran, Aplikasi Teknologi, Fungsi & Ciri, Kualiti dan Penyampaian. 

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi seterusnya menyampaikan penghargaan kepada empat puluh satu (41) panel hakim BICTA 2023. Kemuncak acara turut menyaksikan penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang dan penerima merit BICTA 2023 dan penerima Anugerah Smart Nation. 
Selepas penyampaian anugerah dan hadiah kepada penerima-penerima BICTA 2023, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi kemudiannya meneruskan lawatan ke pameran produk-produk para pemenang dan penerima merit BICTA 2023. 

Selain menerima hadiah wang tunai dan trofi, pemenang-pemenang BICTA 2023 akan berpeluang mewakili Negara Brunei Darussalam ke Anugerah APICTA 2023 yang akan diadakan hujung tahun ini di Hong Kong. APICTA ialah pertandingan ICT antarabangsa yang berprestij, disertai oleh 16 ahli ekonomi dari rantau Asia Pasifik. Sejak penyertaannya dalam APICTA pada 2008, Negara Brunei Darussalam, sehingga kini telah meraih empat (04) kemenangan dan 29 merit. 

BICTA ialah pertandingan ICT tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Persekutuan InfoCom Brunei (IFB). Pertandingan ini bertujuan untuk merangsang inovasi dan kreativiti dalam ICT dalam kalangan individu, pelajar, perusahaan tempatan serta organisasi awam dan swasta. BICTA turut disokong oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan Darussalam Enterprise (DARe). 



[TAMAT]

Disediakan oleh Sekretariat BICTA 2023





Attachments