Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Sabtu, 21 Oktober 2023 - Mesyuarat Ke-84 Jawatankuasa ASEAN Sains, Teknologi, dan Inovasi (COSTI-84) dari 19 hingga 20 Oktober 2023 di Bohol, Filipina
Mesyuarat Ke-84 Jawatankuasa ASEAN tentang Sains, Teknologi, dan Inovasi (COSTI-84) telah berlangsung dari 19 hingga 20 Oktober 2023 di Bohol, Filipina. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Yang Mulia Awang Ir. Mohamad Nazri bin Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) selaku Pengerusi Kebangsaan COSTI bagi Negara Brunei Darussalam. Delegasi dari negara-negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN turut hadir dalam mesyuarat ini.

Dalam ucapan pembukaan COSTI-84, Yang Mulia Awang Ir. Mohamad Nazri bin Mohammad Yusof menekankan kepentingan sains, teknologi, dan inovasi (STI) dalam menangani cabaran-cabaran serantau, termasuk penggunaan AI generatif yang bertanggungjawab. Pengerusi juga menekankan kemajuan yang telah dicapai dalam Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi, dan Inovasi (APASTI), mencatat kepentingan Dana Sains, Teknologi, dan Inovasi ASEAN, dan menekankan peranan STI dalam mengurangkan kesan perubahan iklim dan mempromosikan kelestarian. Ucapan pembukaan juga menekankan komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam ketangguhan cuaca dan bencana, dengan memberi tumpuan kepada komuniti setempat sebagai garis pertahanan penting. 

Antaralain perkara-perkara utama yang dibincangkan semasa Mesyuarat COSTI-84 termasuk:

i. Kemaskini mengenai status Dana Sains, Teknologi, dan Inovasi ASEAN (ASTIF).
ii. Perbincangan mengenai laporan daripada Lembaga Penasihat kepada COSTI (BAC) dan Pengerusi-Pengerusi COSTI Sub-committees dan juga Pengerusi High Performance Computing Task Force.
iii. Pembangunan APASTI 2026-2035: Phase II yang akan memfokuskan kepada deraf APASTI 2026-2035.
iv. Majlis Penganugerahan The Underwriter’s Laboratories-ASEAN-U.S. Science Prize for Women 2023. Brunei telah menghantar dua penyertaan untuk anugerah itu tetapi tidak terpilih sebagai finalis. Pemenang kategori Senior Scientist ialah Thailand dan pemenang kategori Mid-Career Scientist ialah Filipina.
v. Pelancaran Policy Brief: Strengthening ASEAN Women’s Participation in STEM.
vi. Laporan kemajuan mengenai perkembangan cadangan inisiatif-inisiatif Keutamaan Tahunan 2024 (2024 Annual Priorities) Sains Teknologi dan Inovasti (STI) yang telah diluluskan semasa Mesyuarat COSTI-83 dan mengambil maklum tiga cadangan inisiatif-inisiatif yang baru.
vii. Sesi Khas mengenai pembangunan dan penggunaan Artificial Intelligence (AI) generatif yang bertanggungjawab di ASEAN. 
viii. Persetujuan mengenai pengaturan dan jadual Mesyuarat COSTI Ke-85, yang akan dihoskan oleh Cambodia.

Sebelum Persidangan COSTI-84, Mesyuarat Jawatankuasa Kecil COSTI dan Mesyuarat Lembaga Penasihat COSTI (BAC-15) telah bersidang dari 16 hingga 18 Oktober, untuk membincangkan dan merangka strategi yang akan meningkatkan lagi integrasi STI di seluruh ASEAN.

Disamping Persidangan COSTI-84, Mesyuarat Pertama dialog ASEAN-UK mengenai sains, teknologi dan inovasi (AUKDSTI-1) juga telah diadakan pada 20 Oktober 2023. Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Awang Ir.  Mohamad Nazri bin Mohammad Yusof dan Puan Yang Terutama Sarah Tiffin, Duta United Kingdom ke ASEAN. Perbincangan semasa mesyuarat itu merangkumi kajian semula pelan tindakan ASEAN-UK, kemajuan kerjasama sains, teknologi, dan inovasi ASEAN-UK, serta bidang kerjasama ASEAN-UK pada masa hadapan.

Selain itu, Mesyuarat ke-11 Dialog ASEAN-EU mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (AEUDSTI-11) juga telah diadakan mengikuti AUKDSTI-1. Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Awang Ir.  Mohamad Nazri bin Mohammad Yusof dan Puan Yang Terutama Joanna Drake, Timbalan Ketua Pengarah dari Suruhanjaya Eropah. Perbincangan semasa mesyuarat ini tertumpu kepada keutamaan dasar penyelidikan dan infrastruktur ASEAN dan EU dan fokus masa depan Instrumen Dialog E-READI.


Attachments