Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Rabu, 15 November 2023 - Lawatan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ke AITI

​Seramai 16 orang Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah mengadakan lawatan ke Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) bertempat di pejabat AITI, Kampong Anggerek Desa pada pagi tadi. 

Tujuan lawatan Yang Berhormat Ahli-Ahli MMN adalah untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai peranan utama AITI dan pendekatan ke atas isu-isu yang melibatkan pengawalseliaan sektor telekomunikasi dan pos, pengurusan spektrum frekuensi radio kebangsaan dan perkembangan industri teknologi info-komunikasi (ICT) di negara ini. 

Program lawatan Yang Berhormat Ahli-Ahli MMN dimulakan dengan taklimat pengenalan AITI yang disampaikan oleh Yang Mulia Ir. Haji Jailani bin Haji Buntar, Ketua Eksekutif AITI. Antara lain, perkara yang dikongsikan adalah mengenai kedudukan dan landskap sektor ICT, serta hala tuju dan cabaran dalam mengawalselia dan mengembangkan sektor info-komunikasi. Rombongan Yang Berhormat AhliAhli MMN seterusnya berpeluang untuk menyaksikan pameran dan meninjau dengan lebih dekat lagi inisiatif-inisiatif AITI yang sedang dilaksanakan seperti program-program pembangunan kapasiti digital, pengawalseliaan kandungan dan program kesedaran kecurian kabel. Yang Berhormat Ahli-Ahli MMN juga telah dibawa melihat peralatan-peralatan sistem pemantauan perkhidmatan telekomunikasi. 

Lawatan tersebut merupakan perjumpaan pertama kali Yang Berhormat Ahli-Ahli MMN bersama warga AITI dan ianya merupakan satu platform untuk berkongsi maklumat mengenai pencapaian AITI serta meningkatkan kesedaran tentang peranan AITI dalam mencapai matlamat untuk mentransformasikan Negara Brunei Darussalam menjadi Negara Pintar.


Disediakan oleh:

Unit Perhubungan Korporat
Website: www.aiti.gov.bn
Facebook / Instagram: aiti.brunei​


Attachments