Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Sabtu, 18 November 2023 - Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-112 dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Kelolaan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalulintas

Acara Munajat Kali Ke-112 diadakan pada malam tadi anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, kelolaan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) bersempena dengan Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalulintas Jalan Raya Sedunia 2023. 


Tumpuan utama acara Munajat kali ini di Masjid Ash Shaliheen dengan kehadiran Tetamu Khas, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi yang juga selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya. 


Majlis Perhimpunan Malam Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Faishal An-Nawawi bin Haji Saban, Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali selaku Ahli Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA). 

Seterusnya bacaan Doa Munajat oleh Yang Mulia Dr Haji Sham bin Haji Amin, Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Acara Malam Munajat diserikan lagi dengan Tazkirah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Saharuddin bin Haji Patra, Ketua Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama, Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Antara intipati Tazkirah “Mengingatkan supaya menjadikan jalan raya sebagai penghubung destinasi yang selamat dan peri pentingnya membaca zikir dan doa sebelum membuat perjalanan dan ketika hendak memandu iaitu sebagai usaha, benteng hisnun dan mengharap pertolongan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dalam pada itu juga, menghindari punca-punca kemalangan adalah menepati Maqasid al-Syariah yang mengajurkan pemeliharan terhadap nyawa dan harta benda. Bahkan bertepatan dengan kaedah feqiyah dalam erti kata: kemudharatan itu mestilah dihilangkan dan dielakkan.” 

Sejurus selesai Tazkirah, bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Imam Haji Mohd Ashraf bin Haji Bujang, Imam Suraú Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bersama para pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. 

Bagi memberkati acara Munajat, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash Shaliheen Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Penyertaan Ahli Jawatankuasa Takmir dan jemaah daripada 80 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh Negara juga telah menyemarakkan Malam Munajat. Di samping menghadiri secara fizikal, orang ramai juga mengikuti secara maya dengan melayari pautan http://tiny.cc/munajatkheu atau http://www.facebook.com/pdi.kheu.


Disediakan, Disahkan dan Dikeluarkan oleh:
Unit Perhubungan Awam
Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS
Kementerian Hal Ehwal Ugama
Negara Brunei Darussalam

Rujukan: KHEU/BPA/PR553/NOVEMBER2023
Tarikh: 05 Jamadilawal 1445H bersamaan 18 November 2023M



Attachments