Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Khamis, 18 Januari 2024 - Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2024 Cabaran Untuk Berinovasi Kini Dibuka
Anugerah ICT Brunei (Brunei ICT Awards - BICTA) 2024 telah dilancarkan hari ini di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas. Hadir selaku tetamu kehormat untuk merasmikan majlis pelancaran ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. 

Ketibaan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi pada majlis berkenaan dialu-alukan oleh Yang Mulia Ir Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2024; Yang Mulia Awang Ir Haji Jailani bin Haji Buntar, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI); dan Yang Mulia Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, Pengerusi InfoCom Brunei (IFB), selaku Pengerusi Bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2024. 

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Dayang Chong Chee Yee, SetiausahaSetiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dari beberapa kementerian, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan, perwakilan dari institusi pendidikan dan syarikat-syarikat ICT tempatan serta ahli-ahli Alumni BICTA. 

Majlis dimulakan dengan bacaan , Surah Al-Fatihah dan Doa yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Morni bin Haji Nayan, Pegawai Hal Ehwal Masjid. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2024. 

BICTA 2024 sekali lagi membawa tema ‘Negara Pintar Melalui Tranformasi Digital’ yang menekankan kepentingan inovasi dan perkembangan teknologi baharu untuk mendokong usaha ke arah transformasi digital bagi memacu pembangunan ekonomi dan masyarakat di negara ini. 

BICTA 2024 juga adalah merupakan Anugerah Penaung Diraja (Royal Patron Award) yang diadakan setiap dua tahun sekali. Trofi Penaung Diraja akan dianugerahkan kepada pemenang keseluruhan terbaik daripada kesemua kategori pertandingan. BICTA pada tahun ini akan mempertandingkan sepuluh (10) kategori bagi penyertaan daripada individu, pelajar-pelajar, syarikat-syarikat perniagaan, agensi-agensi kerajaan dan organisasi-organisasi yang berminat. Kategori-kategori berkenaan beserta hadiah bagi setiap pemenang adalah seperti berikut:
KategoriHadiah
Kategori UtamaPemenangMerit
1. Perkhidmatan Pengguna dan PerniagaanB$5,000.00B$2,500.00
2. Khidmat Kemasyarakatan dan KeikutsertaanB$5,000.00B$2,500.00
3. PerindustrianB$5,000.00B$2,500.00
4. Awam dan KerajaanTrofi dan Sijil
Kategori SekolahPemenangMerit
5. Sekolah Rendah Bagi penyertaan individu atau kumpulan penuntut Tahun 4 ke Tahun 6B$1,000.00B$500.00B$500.00
6. Sekolah Menengah Bagi penyertaan individu atau kumpulan penuntut Tahun 7 ke Tahun 11B$1,500.00B$800.00B$800.00
7. Institusi Pengajian Tinggi Bagi penyertaan individua atau kumpulan penuntut Tahun 12 hingga peringkat mahasiswaB$2,000.00B$1,000.00B$1,000.00
Cross CategoriesPemenangMerit
8. Pemula (Start Up)B$5,000.00B$2,500.00
9. Penyelidikan dan PerkembanganB$5,000.00B$1,500.00
10. TeknologiB$5,000.00B$1,500.00


Tertakluk kepada kelayakan, mana-mana penyertaan dalam Kategori Utama (kecuali Kategori Sekolah) dibolehkan juga untuk menyertai salah satu daripada ‘Cross Categories’ yang bersesuaian dengan produk yang dipertandingkan. 

Selain itu, BICTA 2024 juga turut mengetengahkan lima (5) Anugerah Smart Nation khusus bagi penyertaan yang tidak memenangi mana-mana kategori pertandingan, tetapi telah memenuhi ciri-ciri aspirasi “Negara Pintar Melalui Transformasi Digital” bagi meningkatkan kualiti hidup, perkhidmatan awam, pendidikan, keselamatan, mobiliti orang ramai dan untuk mencapai kelestarian alam sekitar dalam lima (5) sektor tertentu, iaitu Pelancungan, Pertanian, Pembinaan, Logistik & Pengangkutan dan Pendidikan. 

Sejurus selepas ucapan alu-aluan, tetamu kehormat dijunjung untuk melancarkan BICTA 2024 dengan menggunakan Hologlass, iaitu teknologi yang menggabungkan elemen hologram dengan material kaca bagi menciptakan pengalaman visual yang menarik. Hologlass dibangunkan oleh syarikat Zylit, iaitu salah satu peserta BICTA bagi tahun yang lalu. 

Tetamu kehormat seterusnya dijunjung untuk menyampaikan Penghargaan Khas BICTA. Bersempena dengan ulang tahun penganjuran BICTA yang ke-20. Pada tahun ini BICTA telah memperkenalkan Penghargaan Khas bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan dan jasa individu di dalam pencapaian BICTA termasuk di peringkat pertandingan ICT antarabangsa iaitu, Asia-Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards. Penerima-penerima Penghargaan Khas BICTA adalah seperti berikut:

1. Penghargaan Penyertaan Individu Paling Aktif – Penerima terdiri daripada peserta BICTA yang lalu dari kalangan industri dan guru-guru pengawas bagi penyertaan sekolah ke pertandingan BICTA, yang mempunyai dedikasi penuh dan sentiasa memberi komitmen yang tinggi melalui penyertaan yang konsisten, serta meraih kemenangan di pertandingan antarabangsa APICTA. 

i. Haji Muhammad Zuwaini bin Haji Aliyani, Ma’had Islam Brunei 
ii. Matthew Wong, Chung Hwa Middle School, Bandar Seri Begawan 
iii. Pengiran Khairi bin Pengiran Haji Metussin, Mindtrex Academy 
iv. Sarinah Binti Ziziumiza, Rumine Corporation 

2. Penghargaan Jasa Bakti BICTA – Penerima adalah dari kalangan pemimpin dan individu yang telah banyak menyumbangkan tenaga dan buah fikiran, turut menabur jasa kearah pembaikan dan peningkatan BICTA, serta terlibat secara aktif di dalam menerajui APICTA. 

i. Dr. Yong Chee Tuan 
ii. Sheikh Haji Abas bin Sheikh Mohamad 

Sejurus penyampaian Penghargaan Khas BICTA, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dijunjung untuk beramah mesra dan mendekati peserta-peserta BICTA pada tahun-tahun yang lalu. 

BICTA yang mula diperkenalkan pada tahun 2004 merupakan acara pertandingan ICT tahunan yang dianjurkan bersama oleh MTIC, AITI dan IFB. BICTA juga turut disokong Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, dan Darussalam Enterprise (DARe). 

Turut diserapkan ke dalam aktiviti BICTA 2024 adalah BICTA Plus Bootcamp, iaitu program bimbingan dan latihan khusus bagi peserta-peserta BICTA untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka sebagai persiapan diri sebelum pertandingan. Antara topik-topik yang diketengahkan merangkumi ideation and validation, perancangan perniagaan dan kewangan, strategi pemasaran, kemahiran pitching dan pembentangan serta design and thinking. 

BICTA merupakan komponen di bawah Asia-Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards di mana kualiti dan kategori yang dibukakan adalah selaras dengan piawaian APICTA. Penyertaan Negara Brunei Darussalam di dalam APICTA setakat ini telah meraih empat (4) kemenangan dan tiga puluh dua (32) anugerah merit. Pemenang-pemenang BICTA 2024 akan mewakili negara ke pertandingan APICTA 2024 yang bakal diadakan di Negara Brunei Darussalam pada penghujung tahun ini. 

Semua sekolah rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi, individu, pengusaha-pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS), agensi kerajaan dan badan-badan organisasi yang mempunyai produk-produk ICT adalah dialu-alukan untuk menyertai BICTA 2024. Maklumat lanjut mengenai BICTA dan borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang BICTA di www.bicta.gov.bn. Tarikh akhir bagi penghantaran penyertaan adalah pada 30 Mei 2024. 

Bagi maklumat lanjut, pihak-pihak yang berminat boleh menghubungi Urusetia BICTA melalui email di bicta@aiti.gov.bn atau menghubungi talian 2323232.










Attachments