Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Khamis, 15 Februari 2024 - Perjumpaan Muhibah Antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara Bersama Kementerian Pengangkutan Dan Infokomunikasi Bagi Tahun 2024
Sesi Perjumpaan Muhibah antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bersama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah diadakan pada pagi ini, bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. ​

Mengalu-alukan keberangkatan dan kehadiran Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ke Sesi Perjumpaan Muhibah tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan seramai 20 orang diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee. 


Bagi memberkati majlis, Sesi Perjumpaan Muhibah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Mulia Haji Mohd Ali Taufiq bin Haji Abd Rahman, Imam Tingkat 1, Masjid Kampong Mentiri. Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi antaranya menyentuh mengenai status dan kemajuan didalam pelaksanaan strategi dan perancangan Kementerian yang berlandaskan Plan Strategik MTIC 2025 Refresh yang mana tumpuan asas Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) adalah kekal kearah, menjamin keselamatan sektor pengangkutan dan juga alam siber; meningkatkan kesejahteraan orang ramai melalui penyediaan perkhidmatan yang cekap, bersih serta memanafaatkan teknologi; dan pemudah cara bagi mendokong pembangunan negara yang mampan. Ini diikuti dengan ucapan balas daripada Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee selaku Ketua Rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara. 




Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara diberikan taklimat yang disampaikan oleh Yang Mulia Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, mengenai perkembangan dan halatuju pelan strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) 2025 Refresh termasuk status Petunjuk-Petunjuk Prestasi (KPI). Hasil dari semakan pertengahan penggal (‘Mid-Term Review’) ke atas Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2025 juga dikongsikan bersama perkembangan projek-projek di bawah Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains (Council for Research and Advancement in Technology and Science - CREATES). Selain itu, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat diberikan penerangan ringkas mengenai Fokus Utama 2024-2025 bagi Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawah Kementerian ini. 

Rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga berkesempatan melawat pameran mengenai empat (4) perkara utama iaitu Carta Risiko terkini dengan perkara-perkara yang boleh mengancam keberkesanan Kementerian ini dan Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa dibawahnya, status perlaksanaan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Projek-Projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN) dan juga ristaan Kementerian di sepanjang tahun 2023. 

Perjumpaan Muhibah ini adalah forum perbincangan tahunan yang mana sesi kali ini juga merupakan kesinambungan kepada beberapa siri lawatan kerja yang diungkayahkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Jabatan Pengangkutan Darat, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI) dan juga Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) serta Cyber Security Brunei (CSB) yang telah diadakan sebelum ini. 

Seterusnya, berkesempatan untuk sama-sama bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman bagi merancang langkah-langkah kehadapan kearah mencapai cita kemajuaan Negara Brunei Darussalam. 

Turut hadir dalam sesi Perjumpaan Muhibah tersebut ialah Yang Mulia Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa, Pesuruhjaya Interim bagi Cyber Security Brunei (CSB) serta Pegawai-Pegawai Kanan dan Pegawai-Pegawai di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC). 


Disediakan oleh: 
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) 
Negara Brunei Darussalam 
5 Sya’aban 1445 / 15 Februari 2024




Attachments